aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky menegaskan belum tiba masanya untuk memuji kemampuan beregu muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing biarpun mereka mencipta beberapa keputusan mengejutkan sebelum ini.
Menurut Rexy, pujian awal dikhuatiri memberi kesan kepada sikap pemain yang boleh menjejaskan prestasi dalam jangka panjang.
“Saya belajar daripada pengalaman, pemain Malaysia jangan disanjung dulu.
“Kita tak mahu sikap yang salah timbul. Apa yang penting sekarang adalah mereka kekalkan prestasi itu secara konsisten,” katanya.
Beregu muda negara itu mencuri tumpuan selepas menewaskan beberapa pasangan ternama termasuk gandingan Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat sebelum ini.
Malah, mereka turut melakar kejutan apabila menyingkirkan pasangan nombor empat dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada pusingan pertama kejohanan Seluruh England.
Bagaimanapun, Rexy menegaskan kejayaan itu belum cukup untuk meletakkan mereka dalam kelompok elit selagi belum dibuktikan secara konsisten di pentas tertinggi.
“Mereka sudah buktikan boleh menang lawan pasangan kuat, itu memang bagus.
“Tapi sekarang bagaimana mereka kekalkan momentum itu. Kalau boleh teruskan prestasi dan mungkin muncul juara, barulah kita boleh lihat perubahan besar,” katanya.
Sementara itu, Aaron-Khai Xing yang juga pilihan ketujuh tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua Masters Orleans 2026 selepas menewaskan pasangan Russia, Rodion Alimov-Maksim Olgoblin awal pagi tadi.
Pasangan ranking ke-26 dunia itu mempamerkan aksi meyakinkan apabila mencatat kemenangan straight set 21-11, 21-17 dalam perlawanan berkenaan.
Prestasi konsisten dipamerkan sepanjang aksi itu memberi petanda positif buat mereka untuk terus melakar kejutan dalam kejohanan berprestij berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




