sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas lapan bulan menunggu dengan pelbagai teka-teki, akhirnya jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang membuat keputusan untuk keluar daripada dunia persaraan dan meneruskan kayuhan emas bagi tempoh dua tahun akan datang.
Jelas Azizulhasni, selepas ini dia akan bergerak secara profesional dan akan mewakili Team Azizul selepas Majlis Sukan Negara (MSN) menyalurkan geran individu sebanyak RM200,000 sehingga tahun 2026.
Antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh MSN kepada pelumba berusia 37 tahun itu ialah persediaan menghadapi Sukan Asia 2026 dan Sukan Komanwel 2026.
Geran tersebut meliputi perbelanjaan untuk pengurusan jurulatih, pengurusan latihan dan pertandingan, pengurusan pusat, peralatan latihan serta sains perubatan sukan.
“Jujurnya, ramai yang mengharapkan saya kembali sehingga Sukan Olimpik 2028. Kalau tanya saya, secara jujurnya saya tidak fikir sampai ke tahap itu. Buat masa ini, apa yang saya boleh beritahu, saya ingin meneruskan untuk tempoh dua tahun dahulu, satu langkah pada satu masa.
“Salah satu sebabnya ialah pengakhiran di Paris bukanlah sesuatu yang manis untuk saya, dan memang perkara itu mengganggu saya sehingga ke hari ini. Saya bina kerjaya saya dengan baik — segala pencapaian, kesusahan dan kepayahan yang saya lalui dapat saya tempuhi.
“Namun, penutupnya agak kurang manis dan tidak seperti yang saya harapkan. Sebab itu, keputusan untuk kembali ini sangat sukar. Diharapkan di Sukan Asia 2026 dan Sukan Komanwel 2026 nanti, ada sesuatu yang manis dan saya dapat mengucapkan selamat tinggal dengan baik,” katanya di MSN Bukit Jalil.
Turut hadir sama ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin; dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill.
Selepas pulang dengan kekecewaan di Paris 2024 pada Ogos lalu, Azizulhasni memberi bayangan untuk menamatkan era kegemilangannya, namun hasrat itu tertangguh selepas dipujuk untuk terus mewakili negara.
Antara kejayaan terbesar Azizulhasni, yang lebih dikenali sebagai Pocket Rocketman, ialah memenangi pingat perak di Tokyo 2020 dan gangsa di Rio de Janeiro 2016.
© New Straits Times Press (M) Bhd




