Belum rezeki Hakim Danish

Belum rezeki Hakim Danish

saifulaffendy@hmetro.com.my

Sepang: “Mungkin belum rezeki saya.” Itu pengakuan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli selepas terlepas peluang menaiki podium pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Hakim Danish yang bermula di petak ketiga mempamerkan aksi kompetitif apabila bersaing sengit di kelompok depan sejak awal perlumbaan, namun terpaksa akur menamatkan saingan di tempat keempat.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu berdepan persaingan sengit pada pusingan terakhir bersama Veda Pratama (Honda Team Asia), Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) dan David Almansa (Liqui Moly Dynavolt Intact GP).

Percubaan Hakim Danish untuk memintas Carpe di selekoh terakhir bagaimanapun tidak berhasil, sekali gus terlepas peluang untuk merebut kedudukan podium.

Dia menamatkan perlumbaan dengan ketinggalan 4.410 saat (s) di belakang pemenang yang juga juara dunia, Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team.

Tempat kedua menjadi milik pelumba Indonesia, Veda yang ketinggalan 3.734s di belakang Quiles, manakala Carpe melengkapkan podium di tempat ketiga.

“Saya cuba untuk menamatkan perlumbaan di podium, tetapi saya rasa mungkin belum rezeki saya. Saya percaya insya-Allah tahun depan saya akan cuba lagi,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Hakim Danish berkata dia sudah memberikan segala-galanya untuk mencuba mendapatkan keputusan terbaik di hadapan penyokong, keluarga dan pasukannya.

“Saya sangat gembira kerana saya sudah memberikan segala yang saya ada. Saya bersaing dari awal sehingga habis perlumbaan dan sudah tentu saya mahu mendapatkan podium, tetapi saya terlepas podium dan akhirnya raih tempat keempat.

“Pada perlumbaan tadi, di selekoh terakhir saya cuba juga untuk memintas tetapi terlajak ketika memasuki selekoh,” katanya.

Hakim Danish turut mengakui pelumba Honda memiliki kelebihan di Litar Sepang, terutama ketika melalui selekoh berkelajuan tinggi, namun keadaan itu tidak dianggap sebagai kelemahan buat dirinya.

“Litar Sepang ini ada beberapa selekoh berkelajuan tinggi yang memberi sedikit kelebihan kepada Honda kerana mereka lebih laju di bahagian itu.

“Tapi saya tidak melihat perkara itu sebagai satu kelemahan. Saya hanya cuba untuk terus mengejar dan kekal bersama pelumba di depan. Saya percaya saya boleh buat yang lebih baik lagi untuk perlumbaan seterusnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top