Belum selesai isu majlis, polis siasat Neelofa & suami ‘bulan madu’ pula

Selepas tular gambar didakwa sedang berbulan madu di Pulau Langkawi, pihak polis mula menjalankan siasatan terhadap selebriti popular Neelofa dan suaminya, Haris Ismail atau PU Riz.

Menurut berita BH Online, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, berdasarkan laporan media, pasangan itu dipercayai berada di pulau peranginan tersebut.

“Kita akan siasat perkara ini sama ada benar atau tidak. Sekiranya didapati berbulan madu di pulau peranginan terbabit seperti dilaporkan…
“…mereka jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Polis akan menjalankan siasatan,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, siasatan dilakukan berikutan Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik hanya membenarkan pelancong merentas negeri antara lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja.

“Pelancong juga perlu membuat tempahan menggunakan agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)…
“…berkuatkuasa sejak 10 Mac lalu dan pergerakan perlu menggunakan kenderaan pelancongan,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga mengesahkan pembantu peribadi Neelofa dan perancang majlis pernikahan pasangan berkenaan telah hadir memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar SOP.

Sumber: BH Online (Nor Azizah Mokhtar)