Pelakon, Nadhir Nasar mengakui buat masa ini dia lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada ibu bapanya berbanding memikirkan soal jodoh.
Menurut Nadhir atau nama lengkapnya, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, ibunya pernah bertanya mengenai perancangan perkahwinan, namun dia menjelaskan belum mempunyai keinginan untuk mendirikan rumah tangga.
“Saya tak ada lagi lah. Mak pernah tanya bila nak kahwin, tapi saya cakap memang belum ada rasa nak kahwin lagi.
“Lepas itu mak kata, Alhamdulillah, boleh jaga mak dulu,” katanya.
Menurut aktor berusia 28 tahun itu, dia kini masih tinggal bersama ibu bapanya dan selesa meluangkan masa bersama mereka.
“Sekarang ini memang saya duduk dengan ibu bapa saya. Soalan bila nak kahwin itu sebenarnya tak pernah datang daripada orang luar.
“Bukan sebab saya awet muda atau tak nampak tua lagi,” katanya.
Nadhir berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media iklan raya dan majlis berbuka puasa bersama LOL Entertainment yang berlangsung di Hotel Royal Chulan Damansara, di sini, pada Rabu.

Aktor filem Klepet itu berkata, keputusan untuk terus tinggal bersama ibu bapanya adalah janji yang dibuat kepada dirinya sendiri.
“Saya rasa itu janji saya kepada diri saya. Saya memang nak duduk bersama mereka.
“Kalau soal berapa lama duduk dengan ibu bapa atau sampai kahwin itu saya tak pasti sebab perkara itu sangat peribadi. Saya nak kekalkan macam itu.
“Saya anak bongsu, abang dan kakak saya pun sudah berkahwin, jadi saya memang nak duduk dengan mak ayah saya,” katanya.
Ditanya sama ada tanggungjawab menjaga ibu bapa menjadi antara sebab dia mungkin berkahwin lewat, Nadhir menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Ilahi.
“Jodoh di tangan Tuhan. Saya sendiri pun tak tahu bila benda itu sampai. Kalau jodoh itu sampai, sampailah.
“Kalau jodoh itu datang pun, boleh saja saya masih duduk dengan ibu ayah saya,” katanya.




