TEL AVIV – Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, pada Isnin menggesa kerajaan menolak sebarang perjanjian gencatan senjata dengan Lubnan dengan mendakwa negara Arab itu seharusnya menjadi ‘taman permainan Israel’.
Menteri berhaluan kanan yang kontroversi itu berkata, Israel tidak boleh bersetuju dengan sebarang usaha menghentikan konflik di Lubnan ketika operasi ketenteraan masih memberikan kelebihan kepada tenteranya.
“Israel tidak boleh bersetuju dengan gencatan senjata di Lubnan,” katanya dalam wawancara bersama penyiar awam Israel, KAN.
Beliau turut menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, supaya menyampaikan penolakan Israel terhadap sebarang perjanjian gencatan senjata kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Trump adalah sahabat sejati dan kita perlu melayannya dengan baik serta menghormatinya, tetapi kita perlu memberitahunya bahawa kita tidak boleh bersetuju dengan gencatan senjata di Lubnan,” kata Ben-Gvir.
Menurut beliau, keputusan berkaitan peperangan perlu ditentukan oleh Israel sendiri dan operasi ketenteraan yang dijalankan setakat ini telah menghasilkan perkembangan positif kepada pasukan tenteranya.
Kenyataan Ben-Gvir dibuat ketika perdebatan semakin memuncak dalam kalangan pemimpin politik dan keselamatan Israel berhubung memorandum persefahaman antara AS dan Iran serta implikasinya terhadap kemungkinan penamatan konflik di sempadan Lubnan.
Israel dan Lubnan dijadualkan mengadakan pusingan kelima rundingan langsung di Washington pada Selasa. Rundingan itu menyusuli empat siri pertemuan terdahulu yang bermula pada April lalu dalam usaha mencari jalan penamat kepada perang Israel di Lubnan.
Rundingan yang dimediasi AS itu berlangsung ketika kritikan semakin meningkat dalam Israel terhadap pendekatan Washington dalam mengendalikan rundingan dengan Iran dan kumpulan Hizbullah.
Laman berita Israel, i24NEWS, memetik pegawai Israel sebagai berkata bahawa Tel Aviv bimbang sebarang perjanjian antara AS dan Iran boleh mengukuhkan kedudukan Teheran serta sekutu-sekutunya di rantau Asia Barat.
Menurut pegawai berkenaan, pentadbiran Trump dan pasukan perundingnya didakwa gagal memahami ideologi yang menjadi asas kepada sistem politik Iran dan pergerakan Hizbullah.
“Trump tidak memahami dunia Syiah,” kata mereka, merujuk kepada apa yang didakwa sebagai kegagalan memahami sifat sebenar sistem pemerintahan Iran dan Hizbullah.
Pada Sabtu lalu, i24NEWS turut memetik pegawai kanan Israel yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa Netanyahu telah mengarahkan anggota Kabinet supaya mengelakkan serangan peribadi terhadap Trump.
Menurut angka rasmi Lubnan, serangan Israel sejak 2 Mac telah mengorbankan lebih 4,100 orang dan mencederakan lebih 12,000 yang lain.
Israel juga dilaporkan masih mengekalkan kehadiran tenteranya di beberapa kawasan di selatan Lubnan, termasuk wilayah yang diduduki sejak beberapa dekad lalu serta kawasan yang dirampas semasa perang 2023 hingga 2024. – Agensi



