Tashkent: Mohammed Ben Sulayem dipilih semula untuk penggal kedua selama empat tahun sebagai presiden badan induk sukan permotoran dunia, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), biarpun berdepan dakwaan daripada pencabar yang mendakwa mereka dinafikan hak bertanding disebabkan aturan pemilihan.
“Terima kasih kepada semua ahli FIA yang mengundi dalam jumlah besar dan terus meletakkan kepercayaan kepada saya.
“Kita mengharungi banyak cabaran tetapi hari ini, bersama-sama, kita lebih kuat berbanding sebelum ini,” kata Ben Sulayem sejurus keputusan diumumkan.
Pemilihan berlangsung di Tashkent, Uzbekistan, ketika mesyuarat agung tahunan badan itu.
Walaupun Ben Sulayem meraikan kemenangannya, proses undang-undang dijangka berterusan di mahkamah Perancis susulan tindakan yang difailkan oleh pemandu Switzerland, Laura Villars, yang pada 18 September mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan presiden.
Disebabkan aturan pemilihan yang rumit, Ben Sulayem, 64, pada asasnya bertanding tanpa saingan.
Peraturan menetapkan setiap calon perlu menamakan naib presiden dari semua rantau global. Namun hanya seorang calon layak dari Amerika Selatan Fabiana Ecclestone tersedia dan beliau menyatakan sokongan kepada Ben Sulayem.
Situasi itu menyebabkan calon lain seperti Villars dan bekas steward Formula Satu, Tim Mayer, gagal melengkapkan “senarai presiden” masing-masing, sekali gus mencetuskan cabaran undang-undang yang dibawa ke Paris.
Villars sebelum ini memaklumkan bahawa satu prosiding ditetapkan pada Februari dan keputusan pemilihan “boleh disemak, dicabar atau dibatalkan oleh mahkamah”, bergantung kepada hasil kes berkenaan.
Mayer pula muncul sebagai calon berpotensi beberapa bulan sebelum pemilihan pada Jumaat, namun menarik diri pada Oktober dengan mendakwa pemilihan itu “bukan lagi proses demokratik”.
“Apabila keputusan sudah ditetapkan sebelum undian dijalankan, itu bukan demokrasi itu sekadar teater. Dan apabila ahli tidak mempunyai pilihan sebenar, mereka hanya jadi penonton, bukan peserta,” katanya.
Penggal pertama Ben Sulayem sebelum ini turut sarat dengan pelbagai kontroversi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




