PUTRAJAYA: Kerajaan perlu membenarkan pengambilan pekerja asing dikendalikan agensi perekrutan berlesen tempatan bersama agensi negara sumber bagi mempercepatkan urusan kemasukan tenaga kerja ke negara ini.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. Sukumaran Nair berkata, dalam hal itu, kerajaan digesa bertemu pihaknya sebagai pemain pasaran dalam industri tersebut untuk mencari kaedah atau mekanisme bersama melicinkan proses pengambilan pekerja asing tanpa mengabaikan dasar serta peraturan kerajaan.
Menurut beliau, keputusan Kementerian Sumber Manusia untuk menghentikan sementara sistem digital bagi proses pengambilan pekerja asing yang diguna pakai pada masa ini amat dialu-alukan bagi mempercepatkan urusan permohonan daripada pekerja.
“Sistem itu tidak seharusnya mengambil alih tanggungjawab kerajaan dan dasar yang ditetapkan kementerian. Kami percaya bahawa akan ada perubahan besar dalam proses pengambilan untuk mempercepatkan proses pekerja asing masuk ke Malaysia.
“Malaysia kini mengalami kerugian jutaan ringgit akibat kelewatan dalam proses kelulusan dan pengambilan pekerja asing ke dalam sektor yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sukumaran berkata, memorandum antara kerajaan dengan kerajaan dalam pengambilan pekerja asing dilihat tertangguh walaupun kerajaan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sejak tahun lalu.
Justeru katanya, kekurangan pekerja asing amat teruk dalam hampir semua sektor berlaku akibat terdapat kelembapan dalam proses pengambilan pekerja.
“Kami ingin tahu sama ada ia sengaja dilakukan beberapa agensi atau individu untuk kepentingan peribadi mereka sendiri.
“PAPSMA menolak sindiket dan monopoli yang ditetapkan mana-mana negara dalam bidang pengambilan dan penempatan pekerja asing ke Malaysia.
“Kami mencadangkan satu bentuk pengambilan yang adil dan beretika tanpa sebarang monopoli seterusnya membuka proses kepada semua agensi yang sah dan berdaftar untuk penempatan pekerja asing ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN




