SELALUNYA bila Poklip bertanya kepada rakan artis, apakah pengorbanan terbesar mereka sebagai anak seni, jawapan yang kerap dilontarkan adalah sisi kehidupan peribadi dan privasi kepada umum.
Poklip memang akan mengangguk setuju. Bukan sebab Poklip perasan artis (tidak sama sekali), tetapi sebagai antara insan yang mempunyai ‘akses’ dalam hidup mereka, Poklip faham pengorbanan itu.
Bukanlah mereka kesal bergelar selebriti, tetapi singkapan kehidupan peribadi ibarat tiada kalis terhadap umum, sedikit sebanyak menganggu mental dan emosi mereka. Segalanya seperti diperhati.
Bayangkan, anda tidak dapat lari dari tatapan umum hatta di pusat beli belah sekali pun. Maka, itulah harga yang harus dibayar oleh selebriti terutama mereka yang sedang diangkat dengan populariti.
Apatah lagi di zaman media sosial ini, berita akan lebih sampai dahulu sebelum sempat menafikan atau mengiyakan. Maka ‘berguni-guni’ kecaman akan mengetuk pintu kehidupan anda sebelum sempat mengunci rapat.
Biarpun ada segelintir selebriti memilih untuk sendiri membuka pekung di dada, menyelak kain dan mencanang aib, namun masih ramai lagi sebenarnya yang bijak menyembunyikan sisi hidup yang berbeza.
Apa yang dikongsi di media sosial mungkin tidak sampai 10 peratus yang dilalui dalam kehidupan realiti. Segalanya dirancang demi memastikan mereka tetap mempunyai privasi dalam hidup.
Kalau tidak muat naik apa-apa hantaran di media sosial juga boleh mencetuskan persoalan. Maka, ada segelintirnya memilih untuk hanya memuat naik hantaran berkaitan kerja tetapi mungkin membosankan di mata warganet.
Poklip dari dahulu berpendapat, seorang artis atau selebriti yang pernah berada di puncak populariti tidak mungkin akan dapat benar-benar bersara daripada dunia seni. Mahu kehidupan lebih privasi? Itu sukar sekali.
Bayangkan Anita Sarawak yang Poklip anggarkan sudah lebih sedekad tidak berada di mana-mana pentas tidak kira konsert atau anugerah. Dia dikhabarkan sudah bersara dan menutup karier seninya.
Namun sehingga kini, keberadaannya menjadi persoalan. Masih ramai yang tertanya-tanya, cuba mengorek perkembangan terkini melalui suaminya, Mahathir dan adiknya, seniwati Noorkumalasari.
Penyanyi, Datin Seri Camelia yang dahulu pernah ‘menggegarkan’ industri seni dengan lagu Rindu Padanya. Hanya beberapa tahun dalam industri seni, dia dikhabarkan mengundurkan diri selepas mendirikan rumah tangga.
Namun selepas berdekad lamanya, setiap kali gambarnya dimuat naik oleh jurusolek atau rakan-rakannya di media sosial, pasti ada sekelompok peminat yang meluahkan rasa rindu dan mahu dia kembali ke dunia seni.
Begitu juga dengan beberapa nama antaranya Juliana Banos, Waheeda, Ruhil Amani, Malique dan ramai lagi yang ‘menghilang’ dari radar seni. Tetapi nama dan ‘impak’ mereka tetap mewangi di laman seni.
Maka setiap kali ada artis atau selebriti yang mengumumkan bersara, Poklip tersenyum sendiri. Bukan menyindir (walaupun ada beberapa nama yang agak cringe bila umum), tetapi benarkah anda benar-benar boleh bersara?
Mampukah anda menghilangkan diri seperti Anita Sarawak? Mampunya benar-benar menjaga privasi? Atau hanya bersara atas nama mahukan perhatian? Masih ligat di media sosial kerana perniagaan?
Poklip percaya, tidak semua mampu benar-benar menghilangkan diri dari tatapan dan perhatian umum. Maka, wujudkah ‘bersara’ dalam dunia seni?