Ketika seluruh dunia bimbangkan keadaan di Gaza yang terus diasak kelaparan dan sekatan zalim, dunia sedikit lega apabila Iran muncul bagaikan adiwira dengan membalas serangan dimulakan Israel minggu lalu.
Setiap langkah dan serangan dilakukan Iran ke atas Israel umpama mewakili suara rakyat dan penyokong Palestin yang puluhan tahun menahan sakit hati terhadap tindakan tentera Israel ke atas penduduk Gaza.
Namun, dalam ‘keseronokan’ melihat Israel diserang, timbul sedikit kebimbangan berkaitan kesan tidak langsung atas serangan yang masih belum nampak tanda-tanda untuk berhenti ketika ini.
Ia adalah berkaitan Selat Hormuz iaitu laluan laut penting untuk perdagangan minyak global.
Ia terletak antara Teluk Parsi dan Teluk Oman di mana selepas melalui laluan itu, kapal akan memasuki Laut Arab dan Lautan Hindi.
Pantai utara selat itu terletak di wilayah Iran, manakala bahagian selat di sebelah selatan adalah milik Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Selat itu menjadi laluan utama bagi kira-kira satu pertiga daripada perdagangan minyak global iaitu 17 hingga 20 juta tong minyak mentah dan kondensasi setiap hari.
Selat itu juga mengendalikan 80 peratus perdagangan minyak serta gas asli cecair (LNG) bagi Iran, Arab Saudi dan UAE.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IFA), kira-kira 70 peratus daripada jumlah itu dihantar ke Asia, termasuk China, Jepun, India, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Pakistan dan Filipina.
Berdasarkan laporan Sputnik/RIA Novosti, harga minyak boleh melonjak sehingga AS$130 satu tong sekiranya laluan itu ditutup atau terjejas.
Ahli Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Esmail Kowsari dilaporkan berkata, Tehran sedang mempertimbangkan untuk menutup selat itu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel.
Laporan itu meramalkan konflik antara Israel dan Iran akan berterusan, sambil menambah bahawa kesan peperangan terhadap ekonomi bergantung kepada tempoh dan tahap peningkatan serangan.
Menurutnya, konflik yang berpanjangan boleh melumpuhkan ekonomi, tetapi jika ia berakhir dalam tempoh 14 hari seperti yang dijangka, kesannya dijangka terhad.
Reuters melaporkan gangguan elektronik terhadap sistem navigasi kapal komersil sudah melonjak sejak beberapa hari kebelakangan ini di sekitar Selat Hormuz, menambah risiko pelaut mengangkut kargo minyak.
Malah Kementerian Perkapalan Greece memberi amaran kepada kargo dari negara berkenaan untuk menjauhi perairan Iran ketika berada di Teluk Parsi, Selat Hormuz dan Teluk Oman.
Apa akan berlaku jika laluan di Selat Hormuz ditutup?
Implikasi terbesar adalah gangguan bekalan minyak dan gas dunia yang akan memberi kesan domino ke atas kos pengangkutan, pengeluaran dan kos sara hidup di seluruh dunia.
Penutupan selat ini akan menjejaskan penghantaran barangan dan bahan mentah ke negara dan dari negara Teluk Parsi, termasuk eksport dan import makanan, barangan pembuatan, dan komponen industri.
Jika ini berlaku, syarikat perkapalan perlu mencari laluan alternatif yang jauh lebih panjang seperti mengelilingi Cape of Good Hope di Afrika Selatan yang akan menambah masa pelayaran antara lapan ke 10 hari menyebabkan kos operasi naik secara mendadak.
Kos operasi dianggarkan mencecah AS$450,000 untuk sebuah kapal yang akhirnya memberi kesan ke atas kos produk pengguna dan perkhidmatan.
Dengan kira-kira 70 peratus bekalan minyak dan gas ke Asia perlu melalui selat ini, negara di Asia dijangka menerima kesan paling teruk sekiranya selat ini ditutup.
Industri yang bergantung kepada minyak dan gas sebagai bahan mentah atau tenaga seperti industri petrokimia, pengilangan dan pertanian akan mengalami tekanan besar.
Malah, penutupan Selat Hormuz oleh mana-mana pihak, terutama Iran akan dianggap sebagai tindakan agresif yang boleh mencetuskan tindak balas ketenteraan yang pantas dari kuasa-kuasa besar dunia, terutamanya Amerika Syarikat dan sekutunya, untuk memastikan kebebasan pelayaran.
Ketegangan di Timur Tengah juga mungkin memuncak ke tahap sangat berbahaya, dengan risiko perang berskala penuh membabitkan pelbagai negara.
Walaupun terdapat laluan alternatif seperti Terusan Suez, Terusan Panama atau Laluan Laut Utara yang hanya boleh digunakan pada musim panas, tiada satu pun daripada laluan ini yang mempunyai kapasiti untuk menggantikan Selat Hormuz sepenuhnya untuk semua jenis kargo, terutama minyak dan gas dalam jumlah yang besar.
Laluan-laluan ini juga sering terdedah kepada isu lain. Sebagai contoh, Terusan Suez pernah berdepan masalah kapal tersekat dan Laluan Laut Utara mempunyai cabaran bongkah ais.
Menurut Energy Intelligence, terdapat tiga laluan alternatif untuk ‘menggantikan’ Selat Hormuz sekiranya ia ditutup.
Ia adalah Saluran Paip Timur-Barat Arab Saudi yang menghubungkan medan minyak di Wilayah Timur ke pelabuhan Yanbu di Laut Merah, membolehkan Arab Saudi memintas Selat Hormuz.
Selain itu, syarikat perkapalan juga boleh memilih Terminal Fujairah di UAE atau Terminal Minyak Jask di Teluk Oman.
Dalam pada kita bersorak melihat Tel Aviv dibedil dan penduduknya mula sengsara sebagaimana penduduk Gaza, kita juga perlu panjatkan doa supaya serangan ini tidak melarat menjadi lebih buruk.
Ini kerana penutupan Selat Hormuz untuk semua kapal kargo akan menjadi bencana ekonomi dan geopolitik yang boleh mengubah landskap global secara drastik, mendorong dunia ke dalam krisis tenaga dan rantaian bekalan yang belum pernah berlaku sebelum ini, selain potensi konflik bersenjata berskala besar.
Penulis Pengarang Berita Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd




