Bendahari masjid maut ketika dalam perjalanan tunai solat Subuh

Bendahari masjid maut ketika dalam perjalanan tunai solat Subuh

am@hmetro.com.my

Baling: “Rutin ayah akan menunaikan solat Subuh di masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah, namun tak sangka hari ini adalah hari terakhir dia pergi ke masjid tetapi tidak sempat sampai.”

Begitu kata Abdul Rashid Mohd Nayan, 36, anak tiri kepada Jahaya Khamis, 63, yang maut apbila motosikalnya dilanggar kereta ketika dalam perjalanan ke Masjid Kampung Guar Chempedak, Kuala Ketil, di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, dia mengetahui kejadian menimpa bapa tirinya kira-kira jam 6.30 pagi dan dimaklumkan arwah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Sebelum kejadian, ibu (Raba’ayah Abu Bakar, 58) mengejutkan ayah daripada tidur untuk menunaikan solat di masjid seperti biasa, dan ayah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

“Tak lama selepas itu kami dikejutkan kemalangan yang menimpa ayah dan dia meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, dia sekeluarga reda dengan pemergian arwah yang juga Bendahari Masjid Kampung Guar Chempedak dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Guar Cempedak, Kuala Ketil, di sini, selepas Asar tadi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, kemalangan membabitkan mangsa yang menunggang Modenas Kriss dengan kereta Proton Wira.

“Penunggang motosikal mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Baling bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Shafina Seeni Ibramsa di talian 016-3616786.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top