LONDON: Tottenham Hotspur melengkapkan misi menandatangani pemain tengah Juventus, Rodrigo Bentancur dengan nilai 20 juta pound (RM112.79 juta).
Pemain tengah Uruguay berusia 24 tahun itu menyertai kelab gergasi Serie A berkenaan selama empat tahun setengah dan pernah berada dalam radar Aston Villa.
Begitupun, Tottenham berjaya mendapatkan Bentancur dengan meletakkan wang pendahuluan 15 juta pound (RM84.59 juta) dengan baki 5 juta pound (RM28.20 juta) lagi sebagai tambahan berpotensi.
Berita itu hadir selepas rakan barisan tengahnya, Tanguy Ndombele mendedahkan – rekod penjanjian Spurs – meninggalkan kelab itu dan menyertai Lyon secara pinjaman sehingga akhir musim.
Mengenai pemindahan itu, Juventus dalam satu kenyataan berkata: “Karier Rodrigo Bentancur akan diteruskan di luar Turin. Terima kasih atas segalanya Rodri….”
Sejak menyertai Juventus pada 2017, tiada pemain yang dapat mengatasi penampilan dalam Serie A buat gergasi Turin itu selain Bentancur. Pertahanan tengah itu memiliki 133 penampilan dalam saingan utama selain memenangi tiga gelaran di sepanjang penampilannya.
Tottenham dikaitkan dengan pelbagai nama besar pada Januari termasuk Bruno Guimaraes dan Luis Diaz. Begitupun kelab dari Utara London itu ‘kecundang’ apabila Guimaraes memilih ke Newcastle manakala Diaz ke Liverpool.
– AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




