Kerajaan disaran mempertimbangkan untuk membenarkan murid seawal usia darjah satu menyertai gerakan Pengakap sebagai langkah membentuk jati diri dan kepimpinan sejak kecil.
Cadangan itu disuarakan Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar ketika menjadi panel Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik 2025 yang berlangsung hari ini.
“Saya fikir elok juga kita lihat dan kita boleh memastikan kalau daripada umur darjah satu pun boleh sahaja menganggotai pengakap.
“Ini antara idea yang telah dilakukan di pelbagai negara termasuk Maldives, Hong Kong. Jadi elok juga untuk Malaysia ambil kira,” katanya.
Nurul Izzah cadang Pengakap bermula seawal darjah satu
Menurutnya, nilai positif dalam kepengakapan seperti keberanian, keprihatinan dan semangat tolong-menolong wajar disemai sejak peringkat awal persekolahan.
Beliau turut berkongsi bagaimana penglibatannya sebagai ahli pengakap suatu ketika dahulu membentuk prinsip hidup yang dipegangnya sehingga kini.
“Saya rasa mungkin aktiviti awal-awal itu kan, kita ada belajar tentang real life experiences, bagaimana untuk mandiri di hutan, di luar.
“Tapi pada masa yang sama sentiasa mahu membantu masyarakat dan membantu satu sama lain,” katanya lagi.
Artikel lain: Nurul Izzah tunai haji guna duit sendiri, jawab fitnah ke Tanah Suci naik jet peribadi
Buat masa ini, murid sekolah rendah hanya mula menyertai unit beruniform seperti pengakap pada tahap dua iaitu darjah empat.
Nurul Izzah turut menyeru agar gerakan pengakap diperkukuh dengan sokongan pelbagai pihak termasuk alumni yang kini aktif dalam pelbagai bidang profesional.
Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik 2025 menghimpunkan pemimpin muda Pengakap dari seluruh Asia-Pasifik bagi memperkukuh peranan mereka dalam pembangunan komuniti dan advokasi sosial secara mampan.
Sumber: Sinar Bestari