Beralih daripada muzik melankolik ke klasikal'

Beralih daripada muzik melankolik ke klasikal'

am@hmetro.com.my

Filem komedi klasik legenda Madu Tiga arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang dihasilkan pada 1964 diangkat ke pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP), baru-baru ini sekali gus mengimbau nostalgia.

Apa yang menarik, filem itu diberi nafas baharu dengan iringan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) berjaya memberikan kepuasan dan pengalaman menarik buat penonton yang hadir pada malam itu.

Namun, ada sesuatu yang sangat menyentuh perasaan apabila muzik ciptaan P Ramlee yang digubah puluhan tahun lalu, dirakam menggunakan peralatan analog dan dinikmati oleh pelbagai generasi.

Ia menjadikan persembahan sebuah orkestra bertaraf dunia di dewan konsert moden itu serta melangkaui medium zamannya.

Dalam ucapannya, Konduktor Ahmad Muriz Che Rose yang memimpin MPO berkata, pihaknya percaya filem klasik Madu Tiga adalah filem terbaik yang dipilih untuk diangkat ke pentas DFP.

“Biasanya, orang pergi muzik melankolik. tetapi apa kata kita pergi pada klasikal pula.

“Jadi, bila kita kupas dan tengok filem Madu Tiga ini, kita rasa ini adalah filem terbaik untuk kita buat dengan iringan orkestra.

“Kita sudah tahu cerita Madu Tiga dan setiap kali kita tengok filem ini, kita mesti nak gelak juga.

“Kita juga sudah tahu di mana kelakar filem ini dan ramai yang sudah tahu pun dialognya tetapi kali ini kita beri nafas baharu pada skor muziknya,” katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh dari penonton.

Mengulas lanjut, kata Muriz, yang turut menyelaraskan setiap isyarat muzik dengan aksi di layar, projek filem Madu Tiga itu tidak akan dapat direalisasikan jika tanpa kemudahan teknologi terkini kecerdasan buatan (AI).

“Kita mungkin tidak dapat buat filem ini dalam tempoh lima hingga 10 tahun lalu, kena tunggu seketika untuk buat projek ini. Jadi, terima kasih pada kemudahan teknologi terkini dan AI.

“Saya juga dengan bangga beritahu projek ini dibuat dengan membabitkan tenaga produksi tempatan.

“Pada masa sama, saya juga memberi penghargaan kepada pengurusan Shaw (Brothers) yang memberi kebenaran untuk kita menayangkan filem ini di DFP serta kolaborasi bersama Arkib Negara,” katanya.

Majlis tayangan filem klasik Madu Tiga turut disemarakkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta tetamu istimewa, cucu†Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Najua P Ramlee.

Sinopsis

Filem klasik legenda Madu Tiga arahan dan lakonan P Ramlee itu mengisahkan Jamil, seorang lelaki yang membuat keputusan untuk berkahwin kali kedua dan ketiga.

Tindakan Jamil itu mengundang kepada kekecohan yang menghiburkan apabila ketiga-tiga isterinya, menyedari kewujudan antara satu sama lain.

Filem ini memenangi anugerah Komedi Terbaik di Festival Filem Asia 1964 di Taipei dan sehingga kini kekal sebagai karya penting dalam sinema tempatan.

Sindiran tajam, lakonannya bersahaja dan mantap, manakala, lagu-lagunya juga ciptaan sendiri oleh P Ramlee dan dinyanyikan bersama isterinya, Saloma sekali gus memberikan nostalgia yang cukup hebat.

Antara lagu yang dipersembahkan dalam filem ini ialah Pukul Tiga Pagi dan Selamat Pengantin Baru.

Terdahulu, MPO pernah mengadakan gabungan dan iringan muzik secara langsung dengan tayangan filem untuk beberapa genre sebelum ini.

Antaranya seperti Harry Potter, La La Land, Raiders of the Lost Ark, Ratatouille, Casablanca, Home Alone dan juga Psycho arahan Alfred Hitchcock.

Selain filem klasik Madu Tiga, filem Ola Bola juga pernah diangkat di DFP pada 2017.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top