Beramai-ramai bawa saya ke mahkamah – TMJ

Beramai-ramai bawa saya ke mahkamah – TMJ

PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim tidak berganjak dengan kritikan pengkritik dan sebaliknya mencabar mereka membawa isu itu ke mahkamah.

Tindakannya itu susulan kritikan daripada seorang pengguna akaun di laman X yang menyalahkan baginda berikutan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan penggantungan tujuh pemain warisan negara selama 12 bulan, seperti yang diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini.

Menerusi hantaran di platform X, baginda mencabar pengkritik berkenaan mengemukakan segala bukti.

“Setuju. Saya ada cadangan yang lebih baik. Beramai-ramai, bawa saya ke mahkamah dengan apa sahaja bukti,” tulisnya di platform X.

Semalam CAS mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Bagaimanapun, CAS dalam satu kenyataan memaklumkan penggantungan itu hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan membabitkan semua aktiviti bola sepak.

Tujuh pemain warisan terbabit adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Sementara itu, rayuan yang dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula ditolak, sekali gus menyaksikan denda CHF 350,000 (RM1.8 juta) kekal. – UTUSAN

Scroll to Top