Berang anak saudara ditampar punca dua kumpulan bergaduh di kafe

Berang anak saudara ditampar punca dua kumpulan bergaduh di kafe

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berang anak saudara ditampar individu tidak dikenali dipercayai punca pergaduhan antara dua kumpulan di Kafe Beringin, Taman Beringin, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, 10 lelaki tempatan ditahan semalam dan awal pagi hari ini di sekitar Jinjang berhubung kejadian itu.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang pekerja katering iaitu lelaki tempatan berusia 33 tahun mendakwa dipukul secara tiba-tiba oleh sekumpulan individu.

“Kira-kira 11.10 malam kelmarin semasa mangsa sedang makan di Kafe Beringin terlihat keadaan jalan sesak teruk dan terlihat seorang kanak-kanak lelaki sedang memegang muka.

“Mangsa dan rakannya menghampiri kanak-kanak itu dan bertanya apa yang berlaku dan kanak-kanak itu memberitahu ditampar seseorang tidak dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya susulan itu sekumpulan lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk menghampiri mangsa dan menyoalnya berhubung kanak-kanak yang ditampar terbabit.

Menurutnya, kerana tidak tahu apa yang terjadi mangsa dan rakannya tidak menjawab lalu masuk semula ke dalam kafe namun salah seorang suspek mengekorinya lalu menumbuk mangsa di dalam kafe terbabit.

“Seorang lagi suspek menghayun topi keledar ke arah mangsa yang terkena sedikit pada bahagian kiri kepala mangsa kemudian suspek menarik kolar baju mangsa.

“Bagaimanapun rakan mangsa berjaya menyelamatkannya dan mereka melarikan diri daripada kafe berkenaan.

“Kejadian berpunca daripada anak saudara salah seorang suspek ditampar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali,”katanya.

Ahmad Sukarno berkata 10 individu ditahan daripada kedua-dua kumpulan kesemuanya lelaki tempatan berusia lingkungan 28 hingga 41 tahun.

Katanya, kesemua suspek direman antara satu ke tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

Terdahulu tular di media sosial beberapa klip video memaparkan pertembungan antara dua kumpulan berbeza kaum di sebuah kafe di sini kelmarin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top