Berang diganggu ketika tidur, lelaki Bangladesh tetak leher rakan

Berang diganggu ketika tidur, lelaki Bangladesh tetak leher rakan

KLUANG:;Berang kerana diganggu ketika tidur, seorang lelaki warga Bangladesh maut apabila lehernya ditetak menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di Flat Haji Manan, di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian disedari empat rakan mangsa yang tinggal di dalam bilik berasingan kira-kira pukul 8 pagi sebelum memaklumkan majikan mereka yang kemudian menghubungi polis pada pukul 10 pagi. 

Katanya, mangsa, Mohammad Sobuj, 28, yang tinggal sebilik dengan suspek, Miah Juwel, 27, ditemui mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kepala serta tidak sedarkan diri.

“Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat. 

“Suspek yang merupakan rakan senegara mangsa cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap di Jalan Nyior berhampiran Taman Gunung Selatan Empat pada pukul 4.45 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurut Bahrin, hasil soal siasat awal, suspek mengaku menetak mangsa dengan pisau pemotong daging yang ditemui di tempat kejadian kerana marah akibat diganggu ketika tidur. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Turut ditahan empat rakan mangsa yang tinggal di rumah sama, namun di bilik berasingan yang berusia antara 25 hingga 30 tahun untuk membantu siasatan. – UTUSAN