syafil.syazwan@hmetro.com.my
DILEMA ‘suka dalam diam’ atau terperangkap dalam zon kawan (friendzone) bukanlah sesuatu yang asing dalam fasa percintaan anak muda.
Namun, bagi penyanyi dan penulis lagu berbakat dari Indonesia, Allan Andersn, situasi yang sering membuatkan seseorang ‘cringe’ atau ketawa sendirian itu diterjemahkan dalam bentuk karya seni yang segar.
Muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Mau But Malu, Allan mempertaruhkan genre city pop moden ringan dan groovy bagi menggambarkan perasaan dilema antara ingin meluah atau terus bersembunyi di sebalik status sahabat.
Lagu yang dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman digital bermula 12 Februari lalu memperlihatkan sisi kematangan Allan dalam berkarya.
Menurut Allan, judul Mau But Malu diambil daripada frasa ‘mahu tapi malu’ yang membawa naratif ringkas mengenai seseorang yang sentiasa ada di sisi insan tersayang, menjadi tempat mengadu dan sistem sokongan ketika kawan sedang patah hati, namun sebenarnya diri sendiri sedang bergelut dengan perasaan sendiri.
“Saya memang nak lagu ini bunyi menyeronokkan dan groovy sebab situasi sebegini selalu terjadi dalam hidup kita.
“Kadang-kadang kita gelak sendiri, kadang-kadang kita ‘cringe’ sendiri. Tapi itulah yang membuatkan cerita ini dekat di hati pendengar,” katanya.
Walaupun liriknya menyentuh sisi emosi yang mungkin menyakitkan bagi sesetengah orang, Allan memilih untuk tidak membawakan lagu ini dalam nada yang berat.
Sebaliknya, nuansa city pop yang ceria menjadikannya sebuah lagu tema bersesuaian untuk mereka yang mahu memberi bayangan kepada pasangan masing-masing.
Menerusi lagu ini, Allan ibarat memberi motivasi secara santai kepada mereka yang masih teragak-agak untuk meluahkan perasaan. Baginya, menunggu tanpa kepastian adalah sesuatu yang meletihkan.
“Bagi saya, lagu ini bukan nak buat orang rasa ‘down’. Ia seperti lagu tema untuk orang yang nak bagi ‘bayangan’ apa yang dia sedang rasakan.
“Pada akhirnya, akan tinggal dua pilihan sahaja, sama ada cakap ‘ya’ atau ‘tidak’. Kalau tidak, penat juga menunggu,” katanya.Menerusi Mau But Malu, Allan bekerjasama dengan Anggia Anggun selaku penerbit dan penyusun muzik, manakala proses mixing dan mastering dikendalikan oleh Hery Alesis.
Sepanjang tahun ini, Allan merancang untuk melancarkan beberapa lagi single sebagai persediaan menuju projek EP serta album seterusnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




