Berapa ramai PM pernah buat begini? Azalina puji tindakan Anwar lepaskan kuasa mengawal Parlimen

Berapa ramai PM pernah buat begini? Azalina puji tindakan Anwar lepaskan kuasa mengawal Parlimen

Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan kuasa eksekutif terhadap pentadbiran Parlimen disifatkan sebagai langkah bersejarah dalam mengembalikan kebebasan institusi perundangan negara selepas 33 tahun berada di bawah pentadbiran eksekutif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan itu membuktikan kesediaan kerajaan untuk memberikan autonomi kepada Parlimen supaya institusi berkenaan dapat menguruskan pentadbirannya sendiri.

Malah, beliau mengibaratkan keputusan Anwar sebagai ‘bercerai talak tiga’ kerana melepaskan kuasa yang sebelum ini berada di bawah kawalan cabang eksekutif.

“Berapa banyak Ketua Majlis Parlimen daripada kedua-dua pihak, sini dan sana? Berapa banyak Perdana Menteri? Inilah Perdana Menteri (Anwar) yang melepaskan kuasa mengawal Parlimen, (ibarat) bercerai talak tiga.
“Jadi saya rasa semua kita patut berterima kasih kepada kerajaan hari ini, iaitu frontbench kerana bersetuju untuk melepaskan (kuasa) atas pembebasan yang telah kita setuju tahun lepas,” ujarnya.

Azalina ketika sesi Penerangan Menteri sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. Foto Bernama

Azalina berkata demikian selepas Sesi Penerangan berkaitan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap cadangan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) supaya urusan peruntukan Ahli Parlimen dikendalikan sendiri oleh institusi berkenaan menerusi MPP.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) turut menyambut baik keputusan kerajaan mengembalikan autonomi Parlimen.

Bagaimanapun, beliau berharap prinsip keadilan terus menjadi keutamaan dalam setiap urusan Dewan Rakyat, termasuk perkara yang membabitkan kepentingan Ahli Parlimen pembangkang.

Hamzah turut menekankan bahawa sebarang isu berkaitan pentadbiran Parlimen wajar dibincangkan terlebih dahulu oleh wakil yang dilantik sebelum keputusan dimuktamadkan.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengingatkan semua pihak supaya memanfaatkan kebebasan yang dikembalikan kepada Parlimen selepas lebih tiga dekad berada di bawah pentadbiran eksekutif.

“Saya berharap kita sepatutnya bersyukur dan berterima kasih, kerana setelah 33 tahun Parlimen berada di bawah eksekutif, sekarang kita faham betapa pentingnya bahawa Parlimen harus bebas dan merdeka. Maka kita telah bebas. Hari ini kita mesti memastikan bahawa kebebasan kita tidak tercalar,” tegasnya.

Hamzah Zainudin in talks to take over Parti Keluarga Malaysia | Malay Mail

Menurut Johari, pelantikan dua wakil kerajaan dan dua wakil pembangkang dalam MPP membolehkan kedua-dua pihak terlibat secara langsung dalam perbincangan mengenai pentadbiran Parlimen.

Empat Ahli Parlimen yang dilantik ialah Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) dan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) sebagai wakil kerajaan.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mewakili pembangkang.

Pelantikan mereka mendapat persetujuan Dewan Rakyat menerusi usul yang dibentangkan Anwar selaku Ketua Majlis, selepas nama keempat-empat wakil dicadangkan Jawatankuasa Pemilih.

Sumber: Sinar Harian

Scroll to Top