Berat Badan Naik Hingga Didakwa Depresi & Tak Relevan, Diana Danielle Tegas Tolak Jalan Pintas – “Ada Doktor Tawar Bariatrik, Ozempic”

Berat Badan Naik Hingga Didakwa Depresi & Tak Relevan, Diana Danielle Tegas Tolak Jalan Pintas – “Ada Doktor Tawar Bariatrik, Ozempic”

Pelakon, Diana Danielle, tampil bersuara mengenai perubahan fizikalnya yang menjadi bualan ramai sejak dua tahun kebelakangan ini.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Diana atau nama lengkapnya, Diana Danielle Danny Beeson, 35,  mengakui berat badannya meningkat sehingga mengundang pelbagai tanggapan dan label daripada orang ramai, termasuk dakwaan dia hamil, kurang relevan dan mengalami kemurungan.

“Sepanjang dua tahun ini saya naik badan, macam-macam label orang bagi. Ada yang kata saya mengandung, ada yang cakap saya dah kurang relevan, depresi, macam-macam cerita. Ada juga yang suka sebab katanya tak pernah tengok saya chubby sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Diana menegaskan dia tidak terganggu dengan komen negatif yang dilemparkan terhadapnya dan tidak pernah mengambil jalan pintas untuk menurunkan berat badan.

“Kalau betul saya makan hati dan terganggu dengan apa orang cakap, honestly lama dah saya kurus. Cara ada, option pun banyak. Ramai recommend Ozempic, ada doktor siap offer bariatric, tapi saya tolak kerana sebagai ‘certified diva’, saya tak mahu ambil jalan pintas,” jelasnya.

Menurut aktres filem popular Imaginur itu, isu berat badan yang dialaminya berpunca daripada gaya hidup, termasuk minatnya terhadap makanan serta kurang gemar bersenam.

“Saya tahu ini isu gaya hidup. Saya suka makan dan memang tak suka exercise. Jadi kalau tak ubah cara hidup, sama juga akhirnya,” katanya.

Diana turut berseloroh punca berat badannya naik adalah kerana masakan pembantu rumahnya yang terlalu sedap sehingga membuatkan dia menikmati hidangan enak setiap hari.

“Berat naik pun bukan misteri. Beberapa tahun lepas saya ambil maid yang masak terlalu sedap. Padahnya, makan sedap setiap hari,” katanya.

Mengulas keputusan untuk kembali bersenam, bekas isteri kepada aktor Farid Kamil itu berkata ia didorong oleh tuntutan kerja apabila bakal terlibat dalam sebuah filem baharu yang memerlukan perubahan fizikal.

“Satu-satunya sebab I akur sekarang sebab ada filem baharu yang memerlukan I turunkan berat badan. Nama pun tanggungjawab. Lagipun, badan berat-berat ini sakit lutut,” katanya.

Dalam masa sama, Diana menegaskan setiap individu berhak membuat pilihan sendiri berhubung tubuh badan masing-masing.

“Your body, your choice. Jangan pula ada yang sentap dengan sentimen saya,” katanya.

Scroll to Top