Ipoh: Ketiga-tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) menunjukkan peningkatan berat badan yang konsisten berdasarkan maklumat semasa daripada pihak pengurusan Zoo Tennoji.
Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkembangan itu mencerminkan tahap kesihatan, pemakanan dan penjagaan harian yang baik serta terkawal.
Ia sekali gus menunjukkan kebajikan haiwan tersebut berada pada tahap tinggi dan mematuhi amalan terbaik pengurusan dalam kurungan.
“Berat badan Kelat meningkat sebanyak 440 kilogram (kg), iaitu daripada 2,360 kg kepada 2,800 kg, Dara sebanyak 215 kg (1,985 kg kepada 2,200 kg) dan Amoi 200 kg (1,280 kg kepada 1,480 kg),” menurut kenyataan itu.
MPT memaklumkan sebagai langkah proaktif dan komitmen terhadap ketelusan, laporan berkala secara mingguan akan disediakan berhubung keadaan DAK berdasarkan maklumat rasmi yang diterima daripada Zoo Tennoji.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, laporan berkenaan akan dikongsikan kepada pihak berkepentingan serta orang awam bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan sahih.
“Pihak MPT juga akan terus berhubung secara langsung dengan pengurusan Zoo Tennoji dari semasa ke semasa bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan kebajikan haiwan sentiasa diberi keutamaan,” menurut kenyataan itu.
DAK yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun berada di bawah perjanjian kerjasama antarabangsa yang dipersetujui antara Tennoji Zoo, Osaka dengan Zoo Taiping & Night Safari yang diwakili MPT pada 19 Mei 2022 dan 6 Oktober 2022.
Perjanjian tersebut adalah bagi tempoh 25 tahun.
Media melaporkan sekumpulan aktivis dan badan bukan kerajaan menggesa kerajaan membawa pulang DAK kerana didakwa mengalami penderitaan serta tidak sesuai dengan persekitaran di zoo itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




