syafil.syazwan@hmetro.com.my
Putrajaya: Walaupun harga tiket RM368 hingga RM588 dikatakan agak tinggi, namun kumpulan Exists menjanjikan pengalaman berbeza buat peminat dalam Konsert Exists Premium Live @ PJ di JioSpace, Petaling Jaya pada 4 Oktober ini.
Pemain gitarnya, Along berkata, mereka akan membawakan pengalaman eksklusif buat peminat, sesuai dengan harga tiket terbabit.
“Konsert ini lebih kepada menonjolkan betapa eksklusifnya Exists itu sendiri. Kami nak lihat penerimaan peminat terhadap harga tiket dan dalam masa sama, nilai apa yang kami boleh berikan sebagai tanda penghargaan,” katanya.
Menurutnya, peminat yang membeli tiket Premium akan menerima barangan edisi khas seperti beg, tuala dan hadiah lain, selain peluang untuk sesi bergambar bersama kumpulan itu bagi yang terpilih.
“Kami mahu mereka rasa sesuatu yang berbeza. Jarak pentas dengan tempat duduk juga sangat dekat, jadi suasana memang intim dan eksklusif. Kapasiti pun kami hadkan kepada maksimum 2,000 orang saja,” katanya.
Sementara itu, pemain keyboard Exists, Ajai berkata, peminat turut diberi peluang menyertai sesi ‘soundcheck’ sebelum konsert bermula.
“Itu antara pengalaman yang mereka takkan dapat di konsert biasa,” katanya.
Konsert anjuran JioBuddy itu bakal menyajikan rangkaian lagu hits yang akan dipersembahkan Exists yang turut dianggotai Ezad (penyanyi), Ujang (dram) dan Musa (bass) selama dua jam.
Terdahulu, Exists melancarkan lagu Alasanmu versi 2025 yang diberi nafas baharu dan turut diumumkan sebagai kumpulan muzik yang berjaya mencatat jumlah gabungan penstriman digital di semua platform sebanyak 2.2 billion.
© New Straits Times Press (M) Bhd