Bergilir-gilir jaga ibu sakit terlantar setiap hari

Bergilir-gilir jaga ibu sakit terlantar setiap hari

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Ampang: “Kemalangan menimpa ibu menyebabkan dia terlantar di katil kerana sukar berjalan sekali gus memerlukan saya dan bapa bergilir-gilir menjaganya setiap hari,” kata Nabila Huda Mat Saufi, 24.

Menceritakan kejadian itu, Nabila berkata, ibunya, Rohani Omar, 52, mengalami kemalangan jalan raya selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta di Jalan Ukay Perdana, di sini, pada 14 Februari lalu.

“Ketika kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, ibu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membantu rakannya berniaga di Keramat.

“Ibu kemudian dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan dan dimaklumkan mengalami sedikit pendarahan pada otak selain lebam serta luka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ukay Perdana, di sini, hari ini.

Nabila berkata, semasa ibunya menerima rawatan di Hospital Ampang, dia pula dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 16 Februari lalu kerana demam denggi.

“Ketika itu, bapa (Mat Saufi Ya, 58) terpaksa berulang-alik antara kedua-dua hospital berkenaan bagi melihat keadaan kami. Bapa kemudian minta ibu dipindahkan ke HKL bagi memudahkan bapa menziarah kami.

“Selepas seminggu, ibu kemudian dibenarkan kembali ke rumah memandangkan pendarahan pada otak dialaminya tidak memerlukan pembedahan.

“Walaupun begitu, ibu memerlukan penjagaan rapi daripada saya dan bapa memandangkan dia tidak boleh berjalan kerana separuh badannya sebelah kiri menjadi lemah selepas kemalangan itu,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan Nabila dan bapanya terpaksa bergilir-gilir untuk menjaga ibunya yang turut menghidap penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi serta kolestrol tinggi.

“Pada mulanya, bapa yang bekerja sebagai tukang kebun mahu mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan bagi menjaga ibu.

“Namun selepas perbincangan antara kami, bapa tidak jadi mengambil cuti berkenaan kerana bimbang tiada pendapatan,” katanya.

Katanya, dia yang bekerja di kafe menjaga ibunya pada sebelah pagi, manakala bapanya mengambil tanggungjawab itu pada waktu malam.

“Jika dulu, tidak begitu terasa kekangan kewangan. Namun selepas kejadian itu (kemalangan menimpa ibunya), ada banyak perkara yang memerlukan wang.

“Ini termasuk bagi membeli ubat serta barang keperluannya seperti lampin pakai buang dan lain-lain.

“Dengan pendapatan saya hanya RM1,800 sebulan, manakala bapa pula RM2,000 (sebulan) kami kena banyak berjimat apatah lagi pada Ramadan serta Aidilfitri nanti,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank Maybank milik Nabila Huda bernombor 1622 0028 8816.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top