zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Satu jaringan yang diledak Ifedayo Omosuyi ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), Rabu lalu terus meletakkan penyerang Selangor FC itu di kedudukan teratas carta penjaring terbanyak Liga Super.
Ifedayo kini mengumpul 14 gol selepas 15 perlawanan, namun kedudukannya masih belum selamat dengan penyerang JDT, Bergson Da Silva mengekori rapat di belakang apabila merekodkan 13 gol setakat ini.
Malah, berdasarkan prestasi semasa Bergson yang meledak dua gol dalam dua perlawanan sebaik liga bersambung semula Sabtu lalu, tidak mustahil penggempur dari Brazil itu mampu merampas kedudukan Ifedayo.
Namun, Ifedayo juga sudah pasti memasang impian untuk mencipta rekod peribadi dalam Liga Super dengan mengekalkan status pemenang anugerah Kasut Emas yang dimenangi musim lalu selepas meledak 12 gol.
Sementara itu, penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA), Kpah Sherman berada di kedudukan ketiga carta penjaring dengan mengumpul sembilan gol.
Sherman bagaimanapun kekurangan dua perlawanan selepas aksi KDA menentang Penang FC dan PJ City FC yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu dan Selasa lalu terpaksa ditangguhkan.
Ia susulan skuad Helang Merah terpaksa menjalani proses kuarantin berikutan dua pemain mereka didapati positif COVID-19.
Kapten Kuala Lumpur, Paulo Josue dan penyerang Penang, Casagrande berada di kedudukan keempat dan kelima selepas masing-masing meledak lapan dan tujuh gol.
© New Straits Times Press (M) Bhd