Berhabis demi koleksi berkaitan Harry Potter

Berhabis demi koleksi berkaitan Harry Potter

mahaizura@mediaprima.com.my

KETIKA ramai membesar dengan dunia ‘Harry Potter’, Sofie Masrol hanya mula jatuh cinta dengan kisah fantasi magik itu pada tahun 2021, hampir dua dekad selepas filem pertamanya ditayangkan.

Kelewatan itu bagaimanapun tidak menghalangnya menyimpan koleksi yang kini boleh dianggap luar biasa atau jarang jumpa, bernilai tinggi dan sukar ditemui semula di pasaran.

Dia memilih nama ‘Sofie Miowfoy’ sebagai identitinya dalam kalangan rakan dan pengumpul barangan Harry Potter.

Menurut Sofie, hobinya bermula sebagai aktiviti ‘me time’ pada masa lapang.

“Masa sendiri diisi dengan mencari dan membeli koleksi Harry Potter sama ada di pusat beli-belah atau secara dalam talian memandangkan kebanyakan barangan dikeluarkan di luar negara.

“Asalnya sebab minat, tetapi lama kelamaan, ia bertukar umpama menjadi gaya hidup. Ia membuatkan saya rasa gembira, teruja dan sentiasa fokus,” katanya.

Sofie berkata, tarikan utama dunia Harry Potter, selain daripada filem dan novel, ialah koleksinya mempunyai ‘sifat franchise antarabangsa’ diikuti dengan pilihan koleksi meluas serta visual berwarna-warni, sekali gus menjadikan hobi itu tidak statik dan sentiasa berkembang.

“Keunikan lain ialah komuniti pengumpulnya yang wujud di seluruh dunia.

“Hubungan terjalin melalui media sosial, tidak kenal menjadi rapat, malah ada yang melancong bersama rakan di luar negara serta membeli koleksi berkenaan bersama-sama,” katanya.

Minat Sofie tidak terhenti pada menyimpan barangan di rumah, sebaliknya dunia Harry Potter turut menjadi destinasi perjalanan yang melengkapkan pengalaman peribadi.

“Antara pengalaman saya ialah menghadiri ‘Harry Potter and the Forbidden Forest’ di Singapura pada 2024, diikuti ‘Harry Potter: Vision of Magic’ pada 2025.

“Tahun sama juga, saya berpeluang melawat Warner Bros Studio Harry Potter di Tokyo serta Universal Studios Japan di Osaka, Jepun, malah saya merancang untuk mengulangi perjalanan itu tahun ini,” katanya.

Sofie juga menghadiri persembahan orkestra ‘Harry Potter and The Philosophers Stone Concert’ anjuran Malaysian Philharmonic Orchestra Kuala Lumpur pada 7 Julai 2024.

Menurut Sofie, dia mula mengumpul koleksi ‘Funko Pop’ Harry Potter pada 2021 sebelum berkembang kepada replika dan barangan lain.

“Kebanyakannya ialah Funko Pop, replika dan barangan yang dijual pada harga mahal dan tidak lagi dikeluarkan di pasaran.

“Koleksi ini keluar bermusim dan pengeluarannya tidak diulang produksi.

“Selain Harry Potter, saya juga mengumpul barangan ‘Stitch’, ‘Stranger Things’ serta ‘Garfield’ yang majoritinya bermula daripada Funko Pop,” katanya.

Daripada segi kos, katanya, perbelanjaan untuk hobi ini mahal dengan harga setiap barangan lazimnya antara ratusan hingga ribuan ringgit, terutama koleksi edisi terhad dan dari luar negara.

Selain mengumpul, Sofie turut aktif menyertai cabaran ‘fun run’ bertemakan Harry Potter yang dibuka kepada ‘Potterhead’ dari seluruh dunia melalui platform antarabangsa anjuran ‘The Conqueror Challenges’.

Cabaran itu tidak terhad kepada larian semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai aktiviti seperti berjalan dan berenang bagi melengkapkan keseluruhan siri pingat berkenaan.

“Setakat ini, saya berjaya melengkapkan empat daripada tujuh pingat yang ditawarkan membabitkan ratusan kilometer, manakala tiga lagi cabaran masih belum disertai.

“Saya bercadang untuk menyambung baki penyertaan pada akhir bulan ini atau Februari ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top