Sempena menyambut Maulid Rasul SAW, umat Islam diminta supaya mencontohi Nabi SAW dalam menggayakan hidup secara sederhana terutama dalam menjaga diet sihat.
Perkara ini dapat difahami daripada firman Allah SAW dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).
Bagi menyahut saranan Allah SWT supaya umat Islam menjadikan Nabi SAW sebagai role model dalam mengamalkan cara diet sihat. Ulama sudah membuat pelbagai kajian berhubung cara Nabi SAW makan dan minum.
Antara karya yang boleh dijadikan sandaran ialah al-Tib al-Nabawi karangan Imam Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, Taammulat fi hayat al-Rasul karangan Shikh Muhammad al-Amin Abdullah dan banyak lagi.
Karya berhubung isu pemakanan dan diet Rasulullah yang ditulis dalam bahasa Melayu tidak kurang juga banyaknya.
Antaranya ialah Konsep Kesihatan Melalui Pemakanan Pendekatan Islam dan Sains karangan Che Wan Jasimah, Pemakanan Yang Sihat Menurut Perspektif Islam karya suntingan Norkumala Hj Awang dan banyak lagi.
Kebanyakan buku ini mengkaji diet harian Nabi SAW dan dianalisis mengikut kaca mata sains.
Hasil daripada kajian, mereka mendapati bahawa makanan yang diambil oleh Nabi SAW kebanyakannya mendatangkan khasiat yang sangat baik untuk kesihatan tubuh.
Kajian seperti ini boleh menjadi sandaran kepada kita betapa Islam sangat menitip berat terhadap kesihatan fizikal dan mental.
Pemakanan Nabi SAW
Bagi menjelaskan diet dan pemakanan Nabi SAW, adalah baiknya jika ciri-ciri pemakanan yang diamalkan baginda Nabi SAW disenaraikan satu persatu bagi memudahkan umat Islam untuk beramal dengannya sedikit demi sedikit.
Selain itu, ia secara tidak langsung dapat menyemarakkan lagi Sunnah baginda SAW dalam kehidupan harian kita yang sangat mencintainya.
Ciri-ciri yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:
Mementingkan makanan halal dan baik sahaja
Makanan baginda semuanya daripada sumber halal dan baik sahaja. Sifat terbabit sangat bersesuaian dengan arahan Allah SWT dalam Surah al-Mukminun ayat 51 yang bermaksud: Wahai para Rasul, makanlah kamu semua daripada makanan-makanan yang baik-baik lagi halal seterusnya buatlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan.
Ayat di atas sangat jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW juga tidak terkecuali daripada arahan mencari makanan halal dan baik.
Ini kerana kedua-dua sumber terbabit adalah faktor terpenting dalam mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat.
Makanan berzat dan menyihatkan
Ada banyak riwayat daripada ulama yang membuktikan bahawa Nabi SAW sangat menyukai makanan berkhasiat dan berzat.
Menurut Ibn Qayyim, antara makanan berat kegemaran Nabi SAW ialah daging kambing (kuantiti yang sederhana) dan roti yang direndam dengan cuka atau susu.
Manakala makanan tambahan yang biasa dimakan baginda SAW pula ialah tamar, madu, zabib, talbinah (sejenis makanan campuran antara kismis, kurma dan madu dalam susu) dan pelbagai jenis buah-buahan.
Jika diperhatikan, semua makanan kegemaran Nabi terbabit adalah makanan yang sangat baik untuk kesihatan kerana dipenuhi dengan serat, vitamin C dan sebagainya.
Diet seperti ini bukan sahaja mendatangkan kekuatan kepada tubuh badan, tetapi turut mencegah seseorang itu daripada sebarang penyakit kronik yang membebankan seperti diabetes, buah pinggang, jantung, darah tinggi, obesiti dan sebagainya.
Berhenti makan dan minum sebelum kenyang
Nabi SAW sentiasa berpesan kepada sahabat supaya mengambil setiap makanan atau minuman secara sederhana.
Jika makan, berhenti sebelum kenyang. Jika dahaga minum sekadar menghilangkan dahaga.
Jangan minum air sesudah makan secara melulu kerana ia punca kepada kekenyangan yang tidak menyenangkan.
Oleh sebab itu, Nabi SAW sentiasa berpesan kepada sahabat supaya tidak mengambil makanan secara berlebihan sehingga mendatang kemudaratan kepada kesihatan.
Menurut Shikh Jamaluddin al-Qasimi dalam bukunya yang berjudul Bimbingan Mukmin, perut mempunyai hak yang perlu dipatuhi.
Pastikan makanan dan minuman yang masuk ke dalamnya sesuai dengan sukatan 1/3 makanan, 1/3 air dan 1/3 lagi adalah ruang untuk udara.
Nabi SAW banyak minum air
Antara rahsia Nabi SAW kelihatan sihat dan cergas ialah pengambilan air dengan kadar yang banyak. Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana ada pelbagai riwayat yang menunjukkan Nabi SAW sangat gemar meminum air pada kebanyakan waktu.
Diriwayatkan bahawa baginda SAW akan meminum air sebanyak tiga cawan selepas seketika baginda makan.
Nabi SAW banyak bergerak dan bersukan
Antara hobi Nabi SAW ialah sukan yang bersifat lasak seperti menunggang kuda, berlawan pedang, memanah dan banyak lagi. Jika dikaji juga, didapati sukan seperti ini semuanya akan menyebabkan pergerakan menjadi banyak, sekali gus mengeluarkan peluh dan menghapuskan kalori.
Tabiat ini perlu diamalkan supaya tubuh kekal sihat dan bertenaga walaupun umur semakin meningkat.
Semua lima ciri yang disebut di atas sangat baik untuk dipraktikkan dalam kehidupan.
Nabi SAW sihat bukan hanya kerana dia itu utusan Allah SWT, tetapi ia adalah hasil usaha yang dilakukan baginda untuk kelihatan sihat dan cergas.
Umat Islam tidak boleh bertawakal kepada Allah semata-mata tanpa sebarang usaha.
Usaha adalah pemangkin kepada sebuah kejayaan dan begitu juga dengan kesihatan.
Kesihatan adalah hak milik Allah secara mutlak, manakala usaha pula adalah hak milik manusia.
Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib seseorang itu melainkan dia sendiri mengubah nasibnya.
Sempena mengingati Nabi SAW, mari sama-sama melakukan perubahan dalam menjaga diet yang baik sebagaimana cara hidup Nabi.
Ingat, segala nikmat kesihatan adalah anugerah Allah yang wajib dipelihara.
Sekiranya penyakit yang berpunca daripada kelalaian kita sehingga memudaratkan sistem kehidupan, maka semua itu akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud “Hindari lah sesuatu yang memudaratkan diri kamu dan orang lain.”
Penulis Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




