Beri aksi sepenuh jiwa – Danial Amier

Beri aksi sepenuh jiwa – Danial Amier

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Harimau Malaya tetap yakin mampu mencipta sesuatu dan mendapatkan keputusan positif menentang Thailand dalam perlawanan ketiga Kumpulan A pada Piala Asean 2024 di tadium Rajamangala, Bangkok, esok.

Meskipun bakal beraksi di tempat lawan, pemain tengah negara, Danial Amier Norhisham, kekal yakin dengan kebolehan skuad yang ada untuk tampil dengan semangat juang yang tinggi dan berusaha sebaik mungkin bagi membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Justeru, pemain berusia 27 tahun itu menyeru rakan-rakan yang lain untuk berikan aksi sepenuh jiwa di dalam padang dan berjuang bersama demi kejayaan pasukan.

“Untuk kita sendiri, pasti kita kan tiga mata. Itu sasaran kita. Kita tengok nanti.

“Jangkaan saya sendiri, macam yang saya cakap tadi, pemain-pemain kena perlu beri yang terbaik secara individu masing-masing.

“Kita kena tahu dan kita berdepan dengan sebuah pasukan yang kita tahu yang lebih baik (dari Malaysia). Tak ada apa yang mustahil dalam bola sepak sama macam Timor Leste (beri tentangan sengit). Kita kena bagi 100 peratus untuk perlawanan akan datang,” katanya.

Selain itu, dirinya turut memaklumkan bahawa taktikal yang diterapkan oleh pengendali kelahiran Sepanyol itu tidak begitu sukar untuk difahami dan dipraktikkan di dalam padang.

“Tak susah pun untuk nak menyesuaikan (taktikal) sebab dengan gaya bermain daripada jurulatih Vicente mudah untuk faham dan mudah untuk diikuti selain pemain lain banyak membantu saya untuk lebih cepat faham,” katanya.

Terdahulu, Vicente berdepan tugas berliku untuk mendapatkan keputusan positif selepas pemain utama tidak dapat bersama-sama dengan pasukan Malaysia apabila ada yang tercedera termasuk dipanggil pulang oleh kelab.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia bertemu Thailand adalah di separuh akhir Piala Asean 2022 (Piala AFF ketika itu) di tempat lawan dan menyaksikan pasukan negara tewas 0-3 kepada tuan rumah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top