Beri hak keluarga mangsa tanpa nafi ruang untuk keinsafan pelaku

Beri hak  keluarga mangsa tanpa nafi ruang untuk keinsafan pelaku

Tragedi kemalangan jalan raya yang membabitkan pemandu mabuk sehingga meragut nyawa penunggang motosikal yang dilaporkan minggu ini kembali menggoncang sensitiviti masyarakat terhadap nilai nyawa manusia.

Dalam insiden terbabit, seorang pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah memandu secara berbahaya sebelum merempuh mangsa menyebabkan kematian di tempat kejadian.

Peristiwa seperti ini bukan sahaja menimbulkan persoalan daripada sudut undang-undang sivil, bahkan menuntut penilaian yang lebih mendalam menurut perspektif hukum jenayah Islam, khususnya dalam membincangkan konsep pembunuhan tidak sengaja dan peranan diat sebagai mekanisme keadilan.

Dalam kerangka syariah, asas utama dalam menilai kes seperti ini adalah dengan merujuk kepada pembahagian kategori pembunuhan yang dihuraikan oleh para fuqaha.

Secara umumnya, pembunuhan terbahagi kepada tiga iaitu sengaja (al-‘amd), separa sengaja (shibh al-‘amd) dan tidak sengaja (al-khata’).

Kemalangan jalan raya lazimnya dimasukkan dalam kategori qatl al-khata’ iaitu kematian yang berlaku tanpa niat membunuh.

Namun, kes yang membabitkan pemandu mabuk tidak boleh dilihat secara simplistik sebagai kemalangan biasa kerana wujud unsur kecuaian melampau yang dilakukan secara sedar.

Seseorang yang mengambil bahan yang menghilangkan kewarasan seperti alkohol, kemudian memandu dalam keadaan membahayakan, sebenarnya mendedahkan orang lain kepada risiko kematian secara nyata.

Dalam hal ini, sebahagian ulama berpendapat bahawa ia lebih hampir kepada kategori shibh al-‘amd kerana walaupun tiada niat khusus untuk membunuh, namun ada kesedaran terhadap risiko yang diambil.

Al-Quran sudah menetapkan prinsip asas berkaitan pembunuhan tidak sengaja melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa ayat 92: “Dan tidaklah patut bagi seorang Mukmin membunuh Mukmin yang lain kecuali kerana tersalah (tidak sengaja). Dan sesiapa yang membunuh seorang Mukmin kerana tersalah, maka hendaklah dia memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar diat kepada keluarganya…”

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa walaupun pembunuhan berlaku tanpa niat, ia tetap tidak terlepas daripada tanggungjawab hukum.

Dua kewajipan utama dikenakan iaitu kafarah sebagai bentuk penebusan dosa di sisi Allah dan diat sebagai hak yang mesti ditunaikan kepada keluarga mangsa.

Dalam konteks kes yang membabitkan pemandu bukan Islam, timbul persoalan sama ada konsep ini masih relevan. Hakikatnya, prinsip keadilan dalam Islam tidak terbatas kepada sesama Muslim semata-mata, bahkan meliputi seluruh manusia.

Nyawa adalah antara perkara yang dipelihara oleh syariah tanpa mengira agama. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 32 menegaskan: “Sesiapa yang membunuh satu jiwa tanpa alasan yang benar maka seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia.”

Ayat ini menunjukkan betapa tinggi nilai nyawa manusia dalam Islam tanpa membezakan latar belakang agama pelaku atau mangsa.

Sehubungan itu, tindakan pemandu mabuk yang menyebabkan kematian tetap dianggap sebagai satu jenayah terhadap nyawa yang membawa implikasi keadilan.

Dalam fiqh Islam, diat berfungsi sebagai pampasan kewangan kepada keluarga mangsa, yang bertujuan mengiktiraf kehilangan yang dialami serta mengurangkan kesan sosial dan ekonomi akibat tragedi terbabit.

Rasulullah SAW sendiri sudah menetapkan kadar diat dalam hadis sahih, antaranya sabda baginda bahawa diat bagi pembunuhan adalah 100 ekor unta yang menjadi asas kepada penentuan nilai pampasan dalam perbahasan fiqh.

Lebih jauh daripada itu, kes pemandu mabuk ini memperlihatkan satu dimensi kesalahan yang bertindih. Walaupun pelaku bukan Islam tidak terikat dengan hukum pengharaman arak daripada sudut taklifi seperti seorang Muslim, namun daripada sudut kemudaratan terhasil, perbuatannya jelas melanggar prinsip asas kemaslahatan yang diiktiraf oleh semua sistem moral dan undang-undang.

Memandu dalam keadaan hilang kewarasan bukan sahaja satu kecuaian, tetapi satu bentuk pencerobohan terhadap hak keselamatan orang lain.

Dalam kerangka maqasid syariah, tindakan ini jelas bertentangan dengan prinsip hifz al-nafs iaitu kewajipan memelihara nyawa.

Konsep diat dalam kes seperti ini bukan sekadar mekanisme pampasan, tetapi mencerminkan keseimbangan antara keadilan dan rahmah. Ia memberi hak kepada keluarga mangsa tanpa menafikan ruang keinsafan bagi pelaku.

Dalam masa sama, ia juga berperanan sebagai pencegah sosial supaya masyarakat lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang boleh mengancam nyawa orang lain.

Dalam konteks moden, walaupun pelaksanaan diat tidak berlaku secara literal seperti dalam sistem klasik, namun elemen pampasan melalui insurans atau tuntutan sivil boleh dilihat sebagai manifestasi semasa kepada prinsip terbabit.

Kesimpulannya, tragedi pemandu mabuk yang meragut nyawa penunggang motosikal ini bukan sekadar satu kemalangan, tetapi satu peringatan mengenai betapa seriusnya tanggungjawab menjaga nyawa dalam Islam. prinsip keadilan yang dibawa oleh syariah tetap menuntut supaya setiap kehilangan nyawa diberi pembelaan yang sewajarnya.

Diat dalam hal ini memperlihatkan keindahan sistem Islam yang tidak hanya menghukum, tetapi juga mengimbangi antara hak mangsa, tanggungjawab pelaku dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Penulis Mufti Pulau Pinang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top