Beri kefahaman sains, teknologi dan industri halal buat generasi baharu

Beri kefahaman sains, teknologi dan industri halal buat generasi baharu

suliati@hmetro.com.my

Dalam usaha memperluas kefahaman pelajar terhadap sains dan pensijilan halal, Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Nestlé Malaysia, menganjurkan program Halal @ STEM di SMK Pelagat, Besut, Terengganu.

Inisiatif ini bukan sekadar memberi pendedahan awal, malah dirangka untuk memupuk minat pelajar terhadap bidang halal berasaskan STEM sebagai laluan pengajian dan kerjaya masa depan.

Seramai 150 pelajar tingkatan satu hingga empat diberi peluang memahami konsep halal melalui pendekatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara lebih praktikal dan tersusun.

Bukan itu saja, program juga padat dengan pelbagai aktiviti dimulai dengan sesi Pengenalan Halal & Sains Halal, sebelum diikuti dengan komponen sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Menerusi modul ini, pelajar berpeluang meneroka sains dan pensijilan halal selain memahami penggunaan teknologi digital dalam industri halal.

Mereka juga berpeluang mempelajari aplikasi matematik dan kejuruteraan dalam pembangunan dan penghasilan produk halal.

Guru SMK Pelagat, Mohd Tarmizi Abdul Kadir menyifatkan Halal @ STEM sebagai inisiatif penting yang membuka ruang kerjasama antara sekolah, universiti dan industri.

“Inisiatif UPM dan Nestlé ini sangat dihargai kerana ia memberi pendedahan awal yang realistik kepada pelajar, sekali gus memupuk minat terhadap STEM dan menjadikan bidang ini sebagai pilihan untuk pengajian lebih tinggi,” katanya.

Ketua Hal Ehwal Halal Nestlé Malaysia Nasrul Hadi Mohamed Nor menegaskan kepentingan generasi muda memahami hubungan antara sains, teknologi dan pengeluaran produk halal.

“Program ini membuka mata golongan muda mengenai kepentingan sains, teknologi dan industri halal selaras dengan inisiatif kerajaan memperkasakan sektor berteknologi tinggi dan digital bagi mengekalkan Malaysia sebagai peneraju halal global,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Dr Yazid Yaakob berkata, pendekatan ‘hands-on’ memberi impak besar terhadap kefahaman dan minat pelajar.

“Penyertaan aktif peserta secara hands-on diharap dapat memupuk minat dan kesedaran mereka dalam bidang STEM serta kepentingannya dalam isu dan industri halal.

“Ia sekali gus mendorong mereka memilih laluan sains dan teknologi dalam pembelajaran dan kerjaya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa IPPH, UPM dan Nestlé Malaysia merancang meneruskan program ini dari semasa ke semasa.

“Ia sebagai usaha berterusan menyokong pembangunan pelajar dan memupuk minat terhadap halal dan STEM, khususnya dalam kalangan pelajar menengah rendah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top