am@hmetro.com.my
Georgetown: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan kompaun kepada lima individu kerana sengaja memberi makanan kepada burung merpati di tempat awam.
MBPP dalam kenyataan hari ini berkata, individu berkenaan dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut Seksyen 47(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang membawa kompaun sebanyak RM250 bagi setiap kesalahan.
“Mereka juga boleh dikenakan tindakan mahkamah sekiranya masih ingkar atau tidak membayar kompaun bagi kesalahan berkenaan.
“Mereka didapati sengaja membuang sisa makanan dengan tujuan memberi makan kepada burung merpati di tempat awam.
“Walaupun hebahan dan pendidikan awam sudah dilaksana oleh pihaknya, namun masih terdapat individu yang tidak mengendahkan nasihat berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, di sini.
Mengulas lanjut MBPP berkata statistik pada bulan April lalu mencatatkan sebanyak 818 ekor merpati berjaya ditangkap menerusi operasi kawalan populasi merpati berjadual di seluruh lokasi panas (hotspot).
Serentak dalam melaksana operasi itu, MBPP menerusi Jabatan Kesihatan Persekitaran juga berjaya memusnahkan sebanyak 36 sarang burung gagak pada April lalu.
“Sebagai langkah preventif berterusan, MBPP menyusun atur tindakan pemantauan dan operasi kawalan populasi merpati bagi dilaksana setiap hari mengikut lokasi ditetapkan dalam senarai pemantauan ketat,” katanya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd