Beri peluang dua ADUN bersihkan diri – Masidi

Beri peluang dua ADUN bersihkan diri – Masidi

bhnews@bh.com.my

Putatan: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang bakal didakwa atas kes rasuah dikaitkan dengan isu pengeluaran lesen cari gali mineral di negeri itu wajar diberi peluang untuk membersihkan diri.

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri menghormati proses undang-undang dan berpendirian bahawa pendakwaan terhadap kedua-dua ADUN terbabit bukan bermakna mereka sudah didapati bersalah.

Katanya, sama ada tindakan diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu memberi kesan politik terhadap kerajaan atau tidak bukan perkara yang diberi perhatian utama.

“Kita hormati proses undang-undang dan kalau pun tindakan itu diambil, ia bukan bermakna mereka telah didapati bersalah.

“Malah, kita harus beri peluang kepada kedua-dua ADUN yang berkenaan untuk membersihkan diri.

“Sama ada ia memberi kesan politik atau tidak, ia tidak penting, tetapi apa yang berlaku dan sedang berlaku ialah satu manifestasi kepada proses undang-undang yang perlu dihormati oleh semua orang.

“Kita tidak begitu memikirkan soal kesan politik dan sebagainya,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Petagas, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat berkata demikian ketika diminta mengulas pendakwaan kes rasuah yang bakal dilakukan terhadap dua ADUN mewakili kerajaan negeri.

Dua ADUN terbabit yang masing-masing ditahan SPRM sebelum dibebaskan dengan jaminan pada 18 dan 23 Jun lalu bakal didakwa di Mahkamah Kota Kinabalu pada 30 Jun ini.

Masidi berkata, dalam kes itu pihaknya hanya mahu memastikan bahawa semua yang terbabit, termasuk Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghormati undang-undang.

“Mereka tidak bersalah sehingga mereka (mahkamah) menyebutnya bersalah. Ini adalah prinsip undang-undang yang kita harus pegang dan hormati,” katanya.

Berdasarkan laporan sebelum ini, dua ADUN terbabit masing-masing berstatus Pembantu Menteri dalam jemaah Kabinet Sabah dan ADUN biasa.

Selain mereka, seorang individu awam yang dikenal pasti sebagai pemberi maklumat dikenali sebagai Albert Tei turut akan didakwa oleh SPRM pada 30 Jun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top