
Hannah Yeoh ditemui media selepas hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UITM, pada Rabu. – Foto Bernama
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) meminta semua pihak memberikan ruang kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk bertenang dalam mengakhiri kemelut yang timbul antara kedua-dua pihak sebelum ini.
Malah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, percaya isu yang melibatkan dua entiti penting dalam sukan negara itu dapat diselesaikan dengan cara yang cukup profesional.
“Saya percaya perkara ini, kita boleh selesaikan dengan cukup profesional dan tenang. Tapi saya minta, supaya diberikan masa untuk kita lihat isu-isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak.
“Isu pokoknya adalah mengenai e-sukan. Namun disebabkan (isu) terkeluar dari landasan, jadi isu pokoknya belum diselesaikan. Itu adalah keutamaan saya untuk selesaikan (masalah e-sukan) kerana atlet e-sukan meminta kita untuk selesaikan antara MEGA (Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia) dan MESF (Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia).

