PADA 28 April lalu, Kabinet mengadakan mesyuarat dan antara yang dibincangkan adalah kelayakan pengundi 18 tahun atau Undi 18, isu yang menjadikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sasaran kritikan pelbagai pihak.
Faktanya, sama ada Undi 18 dapat direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau tidak adalah terletak dalam tangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukannya kerajaan.
SPR selaku badan bebas sebelum ini menjelaskan bahawa ia tidak mampu melaksanakan Undi 18 dalam masa terdekat, memandangkan pelbagai aspek harus diambil kira dan ia membabitkan pelbagai agensi, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ia tidak bermakna kerajaan mengambil sikap lepas tangan. Malah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini menegaskan kerajaan mahu SPR mempercepatkan pelaksanaan proses itu dan meminta semua pihak memberi sokongan kepada badan bebas itu supaya Undi 18 dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Pada mesyuarat Kabinet 28 April itu, keputusan dicapai untuk melihat Undi 18 diusahakan supaya dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Empat hari kemudian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ketika ditemui pemberita selepas satu majlis di Kota Bharu, memberi jaminan undi 18 dijangka dapat dilaksanakan tahun ini, paling awal mungkin pada Julai.
Beliau juga menjelaskan, SPR masih meneliti beberapa perkara termasuk dari segi perundangan yang memerlukan pindaan dan penambahbaikan kerana pilihan raya mempunyai banyak undang-undang, termasuk Akta Kesalahan Pilihan Raya, Akta Pilihan Raya dan peraturan mengenai perjalanan pilihan raya.
Dalam masa singkat dan ketika krisis COVID-19 masih mengancam, SPR juga perlu meneliti perkara teknikal termasuk memperkemaskan semua perisian yang diperlukan seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan lain yang berkaitan.
Apa pun, perkembangan isu itu seperti diumumkan Takiyuddin pada 2 Mei lalu jelas menunjukkan betapa kerajaan beriltizam untuk memberi peluang kepada golongan muda berusia tidak kurang 18 tahun menjadi pemilih pada PRU-15 mahupun dalam mana-mana pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri.
Ia juga bukti kerajaan sememangnya komited untuk melaksanakan Undi 18, sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019, iaitu meminda kelayakan usia mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Jaminan Takiyuddin itu sekali gus mengetepikan tuduhan kononnya kerajaan takut dengan undi orang muda, kononnya kerajaan bimbang dengan suara generasi berusia 18 hingga 20 tahun dalam isu berkaitan masyarakat dan pentadbiran negara.
Ia sebaliknya menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mengiktiraf hak dan kebolehan golongan muda dan serius untuk melihat pembangunan belia menjadi satu agenda khusus untuk diutamakan.
Perkembangan itu selayaknya menghadirkan noktah buat isu ini, tidak perlu dipanjangkan lagi kerana gelanggang kini adalah milik SPR.
Semua pihak harus memberi peluang kepada badan bebas itu melakukan apa yang perlu dilakukan.
Sehingga tiba masanya Undi 18 dilaksanakan nanti, pemimpin politik seharusnya mengambil peranan dan menunjukkan teladan sempurna supaya suatu hari nanti, belia Malaysia menjadi aset terbaik dalam pentadbiran dan pembangunan negara.
Kubang Kerian, Kelantan
© New Straits Times Press (M) Bhd




