Beri ruang SPRM siasat pendakwah, masyarakat diingatkan jangan 'hakim'

Beri ruang SPRM siasat pendakwah, masyarakat diingatkan jangan 'hakim'

am@hmetro.com.my

Ipoh: Masyarakat diingatkan supaya memberi ruang kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak bertindak sebagai ‘hakim’ terhadap mana-mana individu termasuk tokoh agama atau pendakwah selagi belum dibuktikan bersalah.

Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim berkata, Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) yakin SPRM tidak bertindak selagi belum mempunyai asas kukuh, namun mengingatkan masyarakat bahawa yang dituduh belum tentu bersalah.

“Berikan peluang kepada pihak yang menjalankan siasatan serta kepada mahkamah yang menentukan.

“Biarkan semua agensi itu bertindak dan menjalankan kerja masing-masing dengan baik dan kita sebagai orang awam mendoakan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) JMNPk di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed.

Zamri berkata demikian ketika ditanya mengenai sesetengah pihak yang menyalahkan agensi penguat kuasa khususnya SPRM apabila mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap golongan berimej agama.

Beliau berkata, beberapa kes yang dilaporkan media kebelakangan ini berkaitan individu yang menggunakan imej agama untuk habuan kepentingan diri sendiri sememangnya membimbangkan, namun pihaknya percaya dengan ketelusan SPRM.

“Undang-undang mengatasi semua orang. Kita (juga) tidak melindungi kawan, orang agama, ustaz, asatizah atau sesiapa sahaja yang kalau bersalah, kita serah kepada kebijaksanaan agensi penguatkuasaan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai tahanan reman SPRM ke atas seorang pendakwah bebas berkaitan sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah di Kedah berkaitan kes salahguna kuasa serta penyelewengan dana institusi pusat pendidikan itu yang mencecah nilai jutaan Ringgit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top