Beri semua jenis vaksin Covid-19 kepada sektor swasta – Utusan Digital

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk membenarkan sektor kesihatan swasta menjalankan vaksinasi menggunakan semua jenis vaksin Covid-19 bagi mereka yang mampu membayar caj untuk mendapatkan imuniti lebih awal. 

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, pihaknya berharap kerajaan mempertimbangkan semula keputusan mengehadkan sesetengah jenis vaksin itu kepada sektor swasta bermula Ogos depan. 

Beliau berkata, kunci utama dalam pengkomersialan vaksin harus bersedia dengan pelbagai jenis dan jenama agar pengguna boleh memilih jenis vaksin yang sesuai untuk memenuhi keperluan mereka. 

Malah, menurutnya isu agihan dan ketidaksamaan vaksin tidak akan timbul lagi pada Ogos kerana sebahagian besar populasi akan divaksin terutama barisan hadapan, golongan rentan dan berpendapatan rendah. 

“Vaksinasi dianggap sebagai penyelesaian dalam jangka masa panjang. Jadi, ia hanya logik jika vaksinasi sektor swasta dibuka kepada semua jenis atau jenama vaksin kerana pengguna akan membayar vaksin yang dipilih.

“Kami faham terdapat kekurangan bekalan vaksin di peringkat global selain wujud agihan vaksin tidak adil kepada banyak negara termasuk Malaysia. Mustahil untuk kita mendapatkan semua jenis vaksin pada masa ini. 

“Cuma, kami bimbang jika kerajaan hanya memberikan jenis vaksin tertentu sahaja kepada sektor swasta, ini mungkin akan menggagalkan tujuan sebenar program vaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, hospital swasta negara ini bakal memulakan vaksinasi secara berbayar bagi individu yang mampu membayar caj. 

“Akan ada beberapa syarikat akan membawa beberapa vaksin dari China seperti Sinopharm yang akan didaftarkan di sini. Jadi, bila kita sudah ada pasaran swasta ini, jika ada yang mahu divaksin cepat, anda bayarlah,” kata Khairy. 

Statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 merekodkan 16,017,814 penduduk negara ini sudah mendaftarkan vaksin manakala 4,749,133 sudah menerima vaksin untuk dos pertama. 

Sabah mencatatkan negeri paling rendah pendaftaran vaksin iaitu 30.54 peratus dan negeri-negeri lain di seluruh negara mencecah lebih 50 peratus. – UTUSAN ONLINE