Beri suapan RM55, jurulatih badminton didenda RM3,000

Beri suapan RM55, jurulatih badminton didenda RM3,000

KANGAR: Seorang jurulatih badminton mengaku bersalah selepas didakwa cuba memberi suapan kepada seorang anggota polis sebanyak RM55 pada 2022 lalu.

Tertuduh, Lim Chon Shia, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan wang tunai RM55 kepada seorang anggota polis sebagai balasan baginya tidak menjalankan tindakan bagi kesalahan memandu kenderaan tanpa lesen yang sah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Guar Nangka, Arau, pada 28 Mei 2022 sekitar pukul 10.45 pagi.

Berikutan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 214 Kanun Kesekaan.

Jika sabit salah, tertuduh boleh dipenjara tidak sampai 10 tahun, dan hendaklah dipenjara selama tempoh yang boleh sampai seperempat daripada tempoh penjara yang lama sekali ada diperuntukkan bagi kesalahan itu, atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ab Rashid dan Pegawai Pendakwa S. Sujatha manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Hapiz Rajali.

Semasa prosiding, peguam tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman ringan memandangkan anak guamnya melakukan kesalahan kali pertama dan telah insaf.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon satu hukuman setimpal atas kesalahan memberi suapan kepada penjawat awam dan perlu dijadikan sebagai peringatan buat masyarakat.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan jika gagal bayar boleh dipenjara selama tiga bulan, selain wang suapan RM55 turut dilucut hak.-UTUSAN

Scroll to Top