Beri vaksin kepada kakitangan penerbangan sekarang, kata Nufam

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Kerajaan tidak boleh mengharapkan kru kabin dan juruterbang terbang segera apabila sempadan dibuka, kecuali mereka divaksin terlebih dahulu.

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) berkata, Kementerian Kesihatan dan Pengangkutan perlu mula mengadakan kempen vaksinasi dengan syarikat penerbangan untuk kakitangan mereka divaksin secepat mungkin.

Nufam dalam kenyataan berkata, walaupun sekatan perjalanan dan penutupan sempadan akibat pandemik Covid-19 bermakna industri pelancongan belum dapat bangkit semula, kakitangan syarikat penerbangan tidak patut “takut” sebaik saja langkah itu dibatalkan.

“Jika kerajaan bercadang membuka laluan hijau dengan negara jiran, kami menggesa mereka melakukan perkara betul terlebih dahulu,” kata kesatuan itu sambil menambah kru penerbangan belum divaksin.

“Kerajaan perlu mula merancang sekarang dan beritahu kami jika vaksin boleh disediakan secepat mungkin untuk kakitangan penerbangan kerana mereka yang akan bertugas apabila sempadan dibuka semula.

“Tentu anda tidak boleh mengharapkan kru kabin atau juruterbang kami segera terbang apabila kerajaan mengumumkan sempadan dibuka semula?”

Nufam mahu melihat kakitangan penerbangan diberi jaminan mendapat perlindungan sama seperti petugas barisan depan kerana terdapat ribuan kakitangan penerbangan yang berkhidmat dengan syarikat penerbangan negara dan tambang rendah.

Ia mendapati kru kabin dan juruterbang di beberapa negara sudah divaksin dan menggesa Putrajaya mengikut jejak mereka dengan membuka kaunter vaksin di KLIA serta klia2 untuk memudahkan proses itu. Selain dapat memastikan proses vaksinasi berjalan lancar, Nufam berkata, langkah itu juga dapat mengelakkan kesesakan di hospital.

Di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, warganegara serta warga asing berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima vaksin pada fasa ketiga, yang dijangka bermula Mei sehingga Februari 2022.