Berita baik buat Hakim Danish

Berita baik buat Hakim Danish

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin mengesahkan perbincangan bersama Petronas Sprinta baru-baru ini berhubung penajaan pelumba negara, Hakim Danish Ramli, berlangsung dalam suasana positif dan pengumuman mengenainya dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Zulfahmi berkata, rundingan yang diadakan itu adalah sebahagian daripada usaha agresif pihaknya bagi memastikan Hakim Danish dapat beraksi tanpa kekangan kewangan pada penampilan sulungnya di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini menerusi kelas Moto3 bersama pasukan MT Helmets MSI.

Petronas Sprinta adalah jenama di bawah Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM).

“Secara jujurnya memang sekarang ini kami sangat agresif berbincang dengan pelbagai syarikat korporat. Saya sendiri bertindak lebih agresif untuk dua minggu terakhir ini bagi mengesahkan penajaan.

“Bukanlah kami tidak dapat tajaan langsung untuk Hakim Danish, tetapi ia (tajaan) itu juga membabitkan program lain,” kata Zulfahmi ketika hadir pada pembukaan baharu gimnasium Anytime Fitness milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Hakim Danish berdepan kekurangan dana untuk menyertai perlumbaan berprestij itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap persediaannya menghadapi musim sulung di pentas dunia.

Zulfahmi menjelaskan, tarikan utama yang dibawa dalam setiap rundingan adalah potensi besar Hakim Danish sebagai pelumba Kejohanan Dunia, selain memberi kesan limpahan kepada rakan sepasukan serta program pembangunan di bawah ZK Racing.

“Setiap syarikat yang kami dekati, tarikan utama adalah Hakim Danish dan Qabil Irfan (Azlan) akan dapat tempiasnya. Saya yakin banyak perhatian lebih kepada Hakim Danish sebab dia beraksi di Kejohanan Dunia dan kita tahu pakej apa yang kita boleh jual dalam aspek penjenamaan.

“Sekarang ini masa sudah agak suntuk dan hari ini (semalam) saya baharu dapat berita yang baik. Saya harap kita boleh umumkan dalam masa yang terdekat,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulfahmi berkata, pihaknya menyasarkan penaja yang hadir sebagai penaja utama untuk pasukan MT Helmets MSI, sekali gus memberi impak besar terhadap struktur pasukan.

“Memang kami buat pendekatan kepada mereka selaku penaja utama. Jadi nama pasukan (MT Helmets MSI) akan berubah. Nilai tajaan saya tak boleh dedahkan tetapi ia cecah jutaan ringgit.

“Penajaan ini juga akan menyumbang kepada program pembangunan pelumba sebab jika tiada program, maka tiadalah pelumba,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top