Berita buruk buat Harimau Malaya

Berita buruk buat Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Penonton akan dibenarkan untuk menyaksikan baki aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang berlangsung di Dubai termasuklah empat aksi membabitkan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Memetik portal nationalnews.com, Persatuan Bolasepak UAE (UAE FA) mengesahkan perkembangan itu selepas perbincangan dengan Jawatankuasa Kecemasan, Krisis dan Pengurusan Bencana Kebangsaan serta Pasukan Krisis dan Pengurusan Bencana di Dubai.

Kelayakan yang akan berlangsung Khamis ini (waktu Dubai) di Stadium Zabeel dan Stadium Al Maktoum terhad kepada 30 peratus kapasiti untuk penyokong yang sudah divaksin sepenuhnya selain mereka perlu mengemukakan keputusan ujian PCR yang negatif 48 jam sebelum perlawanan.

Kehadiran terhad penyokong dibenarkan pada aksi final Piala Presiden bulan lalu yang menjadi kali pertama penyokong memasuki stadium untuk menyaksikan perlawanan sejak Februari tahun lalu.

UAE FA menjelaskan kelancaran pada aksi final Piala Presiden itu menjadi platform untuk penyokong kembali ke stadium.

Setiausaha Agung UAE FA, Mohammed Hazzam Al Dhaheri berkata, perkembangan ini sudah pasti akan memberi suntikan motivasi terbesar buat skuad UAE yang akan bersaing pada kelayakan itu.

“Inilah masa yang dinantikan oleh penyokong dan penonton untuk berada di belakang pasukan kebangsaan. Semua pihak termasuklah pemain, pegawai teknikal dan FA mahukan ini berlaku. Mereka mahu penyokong kembali ke stadium.

“Kami mendapat permintaan pada setiap hari menerusi media sosial, emel dan telefon yang bertanyakan sama ada mereka boleh hadir untuk menyaksikan perlawanan ini.

“Dengan kejayaan Piala Presiden yang berjalan lancar tanpa sebarang isu, kami bersedia untuk mengalu-alukan kembali kehadiran penyokong dan kali ini bersama pasukan kebangsaan,” katanya.

Kebenaran itu juga akan menyaksikan skuad Harimau Malaya akan berdepan pemain ke-12 UAE apabila turun menentang tuan rumah itu jam 12.45 tengah malam Jumaat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top