Berjalan kaki untuk sampaikan bantuan – Utusan Digital

Berjalan kaki untuk sampaikan bantuan – Utusan Digital

 

PETALING JAYA: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) terus mendekati dan menyantuni para pelajar yang terkesan akibat fenomena kepala air Gunung Jerai bulan lalu.

Menerusi laman Facebook, Pengerusi Eksekutif yayasan itu, Mohd Nizar Sudin berkata bantuan itu disampaikan bagi meringankan bebanan pembelian alat tulis dan buku teks baru yang rosak susulan bencana itu.

“Ini merupakan fasa kedua misi bantuan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) YPM kepada para pelajar yang terjejas akibat fenomena kepala air Gunung Jerai baru-baru ini.

“Semasa banjir melanda secara tiba-tiba, banyak buku teks, latihan dan alat tulis musnah tidak dpt selamatkan.

“Terima kasih Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda Yan dan Pejabat Mara Daerah yang menyediakan data-data lengkap untuk misi CSR ini,” katanya.

Kejadian kepala air dari Gunung Jerai telah mengakibatkan beberapa kawasan di Yan dan Merbok dilanda banjir kilat dan menyebabkan empat maut manakala dua masih hilang.

Mohd Nizar telah mengambil bahagian untuk menyampaikan sumbangan itu sendiri dengan menyusuri jalan perkampungan sebelum sampai di kediaman pelajar itu.

“Cikgu See Poi Yoke dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) SinHwa, Merbok bersama saya menyusuri Jalan Kampung Simpang Tiga Pasir dan Denai ke rumah anak muridnya Nursyaza Damia Ahmad Fuzi, 10.

“Nursyaza Damia adalah sebahagian daripada 100 pelajar menerima bantuan secara one off dan bantuan peralatan pembelajaran daripada YPM hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Scroll to Top