Berkat jaga bapa angkat sakit, Husna raih 10A

Berkat jaga bapa angkat sakit, Husna raih 10A

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Pontian: Perjalanan Nurafiqzah Husna Arpan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu tidak mudah kerana perlu mengulangkaji pelajaran dan dalam masa sama menguruskan bapa angkatnya yang menderita angin ahmar.

Bagaimanapun, penat lelah dan pengorbanan remaja mesra disapa Husna, 18, itu berbaloi selepas memperoleh 10A dalam keputusan SPM yang diumumkan pada Selasa.

Kecemerlangan diraih itu katanya di luar jangkaan memandangkan pada peperiksaan percubaan yang lalu dia hanya meraih 8A 1B dan 1E.

Bagaimanapun, Husna yang menetap di Kampung Serkat, di sini bersyukur dan menghadiahkan kejayaan itu buat bapa angkatnya, Khairuddin Buang, 59, yang menjaganya sejak berumur empat bulan dan seluruh ahli keluarga.

Ditanya resipi kejayaan, Husna yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup berkata, dia belajar seperti biasa, cuma banyak membuat latihan soalan peperiksaan percubaan SPM yang lalu dan menjaga solat serta banyak berdoa kepada Allah SWT selepas puas berusaha.

“Waktu peperiksaan percubaan, saya dapat semua A kecuali B untuk Geografi dan E dalam Matematik.

“Jadi selepas dapat keputusan itu (peperiksaan percubaan), saya cari kelas tuisyen berdekatan rumah untuk mendapat bimbingan terutama dalam Matematik.

“Alhamdulillah, usaha saya berhasil dan gembira kerana dapat keputusan yang boleh banggakan keluarga. Terima kasih juga buat semua guru yang mengajar dan kejayaan ini mungkin juga berkat menjaga ayah sakit dan doanya,” katanya kepada Harian Metro.

Di sebalik kejayaan itu, Husna mengakui berdepan cabaran dalam membahagikan masa antara pelajaran dan tanggungjawab menjaga Khairuddin yang diserang angin ahmar sebelah kiri badan sejak 2017.

“Kadangkala terkejar-kejar juga kerana balik dari sekolah saya perlu bantu uruskan ayah. Kami tinggal berdua sahaja selepas ibu angkat meninggal dunia, tujuh tahun lalu.

“Tapi saya cuba urus masa dengan sebaik mungkin dan dalam kelas, saya akan fokus dengan apa cikgu ajar, kemudian luangkan masa ulang kaji pelajaran pada tengah malam sebelum tidur.

“Tipu kalau kata tak penat tapi ayah pun bagi semangat dan apabila dapat keputusan cemerlang, rasa berbaloi sangat,” katanya yang merancang menyambung pengajian dalam bidang seni bina atau kejuruteraan selain bercita-cita menjadi pelukis pelan.

Sementara itu, Khairuddin gembira atas kejayaan Husna yang diakui banyak membantu menguruskannya sejak pemergian isteri tercinta, Allahyarham Rose Suria Indah Ilias, tujuh tahun lalu akibat barah serviks.

“Saya dan arwah isteri ambil Husna sebagai anak angkat sejak umurnya empat bulan kerana tiada rezeki dikurniakan cahaya mata.

“Dulu saya jaga dia tapi selepas sakit, Husna pula banyak bantu uruskan saya, terutama selepas ketiadaan isteri.

“Saya selalu doakan dia berjaya dan syukur dia dapat keputusan cemerlang dalam SPM hari ini (Selasa). Saya sokong saja jika Husna nak sambung belajar dan biar dia buat pilihannya sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top