norhayati_nordin@hmetro.com.my
ADAT anak seni, sama ada dikecam dan kemudiannya disanjung tinggi itu perkara biasa. Cuma, bagaimana ia mahu diterima dengan positif dan pada masa sama berusaha membuktikan kemampuan diri.
Bagi pengacara dan penyanyi, Sissy Imann Mohammad Kamil, 30, dia memilih untuk tenang-tenang saja apabila dikecam netizen selepas namanya baru diumumkan sebagai hos Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), baru-baru ini.
Pun begitu, siapa sangka tindakan ‘berdiam diri’ dilakukan wanita yang mesra disapa Sissy ini sebelum acara berprestij itu berlangsung pada 16 Februari lalu boleh disifatkan umpama peribahasa, diam-diam ubi berisi.
Sissy berkata, dia sudah lali dengan apa saja kritikan dan kecaman daripada netizen selepas 10 tahun berkecimpung dalam industri hiburan sejak 2014 yang memberinya pelbagai pengajaran serta pengalaman bermakna.
“Mengenai pengacara AJL39 itu, saya dari awalnya dah boleh menyangka akan ada reaksi yang pelbagai daripada orang ramai terutama netizen di media sosial apabila diumumkan sebagai pengacara.
“Tapi, macam biasa saya memang ‘divert’ (alihkan) fokus saya kepada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan itu. Alhamdulillah, selepas AJL39 berakhir, saya tak sangka langsung dapat banyak reaksi positif,” katanya.
Menurut anak kedua daripada tiga beradik ini, dia cuba muncul dengan cara tersendiri memandangkan gandingan pengacara bersamanya iaitu Nazrudin Rahman, 47, bukan calang-calang dan banyak ilmu serta pengalaman.
Ditanya juga kepuasannya dalam karier seni, termasuk pencapaian pendidikan selepas memiliki Ijazah Sarjana Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam tahun lalu, Sissy berkata, dia sangat bersyukur.
“Alhamdulillah, dari segi mengacara apabila dapat buat AJL39 itu memang rasa puas. Berganding pula dengan pengacara senior seperti abang Naz, banyak yang saya dapat belajar daripada bantuannya.
“Saya pula memang cintakan muzik sejak kecil. Jadi, memang salah satu impian saya dapatkan peluang dan kepercayaan stesen TV untuk buat apa saja program atau acara yang berkaitan dengan muzik.
“Masa AJL39 itu, saya memang puas dapat kongsi ilmu muzik pada semua dan segala maklumat yang saya lontarkan memang saya ‘cross check’ dengan cikgu-cikgu saya dan komposer yang terbabit untuk pastikan segalanya tepat,” katanya.
Mengenai karier nyanyian, Sissy memaklumkan dia baru melancarkan lagu berjudul Passenger Princess ciptaannya sendiri yang memuatkan kisah dengan maksud tersirat.
“Kisah lagu ini berkaitan semasa. Nak fikir apa atau nak rasa apa, terpulang kepada perspektif orang yang mendengar itu. Sebagai pemuzik dan pengkarya, saya hanya membuat yang terbaik pada lagu dihasilkan.
“Muzik video Passenger Princess dah pun ada dimuat naik di YouTube sejak 15 Februari lalu. Saya turut bertindak sebagai penerbit kerana sebelum ini sudah terbiasa juga menulis lagu dan lirik sendiri,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Mungkin Kamu dan Pesanan Ayahanda ini, dia gembira kerana lagu Passenger Princess ini boleh dianggapnya lain daripada karya nyanyian terdahulu dari segi ‘direction’ dan sebagainya.
Katanya, apa yang dirasakan sangat seronok bila saban tahun mendapat banyak ilham baharu dalam penciptaan lagu sekali gus ada peluang untuk bereksperimentasi dengan genre muzik pelbagai.
Tetap kerja ketika Ramadan
Begitu cepat masa berlalu, Ramadan kini kembali semula dan sambutan Aidilfitri dijangka bakal dirai oleh umat Islam di Malaysia sama ada 31 Mac atau awal April depan.
Apapun, kedatangan Ramadan biasanya membuatkan sebahagian selebriti tempatan ada yang mengambil cuti sebulan untuk berehat termasuk mahu memberi tumpuan kepada beribadah.
Sissy berkata, dia tiada masalah untuk bekerja ketika Ramadan walaupun penat tidak dapat dielak berikutan cuaca yang kurang menentu ketika ini apabila ada masa terlalu panas serta hujan.
“Pada Ramadan ini, saya ada aktiviti kerja membabitkan beberapa penggambaran program hiburan yang sudah dipersetujui. Alhamdulillah, setakat ini pun saya memang okay kalau bekerja ketika bulan puasa.
“Tak rasa ‘stress’ bekerja langsung walaupun cuaca rasanya terlebih panas ketika Ramadan. Apapun, saya ‘enjoy’ pada bulan puasa, solat tarawih dan sebagainya yang menjurus kepada ibadah serta mengumpul pahala,” katanya.
Menurut Sissy, apa yang diharapkannya semoga Ramadan pada tahun ini lebih baik daripada sebelumnya. Begitu juga amalan-amalan kebaikan yang lain dapat dilakukannya dan kita semua dengan lebih baik serta istiqamah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




