Berkat Ramadan, hantaran dan komen jelek di media sosial kurang

Berkat Ramadan, hantaran dan komen jelek di media sosial kurang

yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berkat kesucian bulan Ramadan menjadikan pengguna internet dan media sosial di negara ini lebih berhemah di dalam setiap hantaran dan status mereka.

Ia terbukti selepas memasuki hari ketiga berpuasa, trend menunjukkan hantaran jelek, serangan peribadi serta bersifat provokasi menurun berbanding hari-hari biasa.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, sebaliknya pemantauan pihaknya mendapati, media sosial dipenuhi dengan doa, fadilat solat serta tazkirah sempena bulan puasa.

Selain itu, pengguna media sosial juga turut berbalas ucapan selamat berpuasa dan itu menunjukkan kesan positif sempena kedatangan Ramadan.

“Ini termasuk mereka yang berkongsi kata-kata hikmah dan perkongsian ilmuan agama.

“Banyak klip video ceramah mengenai hukum ibadat wajib dan sunat turut dikongsikan,” katanya.

Siraj berkata, ia secara tidak langsung membuktikan Ramadan membentuk kawalan kendiri dan sosial secara sukarela.

Ia selari dengan tuntutan Islam bahawa amat penting untuk seseorang itu meningkatkan kualiti ibadah sepanjang bulan puasa.

“Netizen akan berfikir dua kali sebelum menulis komen negatif kerana risiko dikecam oleh yang lain dengan alasan menjaga kualiti puasa.

“Ramai juga yang mengurang screen time, menonton drama atau berbalah di media sosial untuk menghormati Ramadan. Ini cerminan sikap yang baik secara keseluruhan,” katanya.

Justeru katanya, MCCA berharap agar trend ini berterusan dan dapat membentuk komuniti siber yang berkualiti di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top