Berkhemah atas bukit untuk duduki peperiksaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kelantan: Tular di media sosial sejak semalam yang memaparkan seorang pelajar terpaksa berkhemah di atas bukit berdekatan kediamannya untuk membolehkannya mengambil peperiksaan dalam talian.

Mohd Azmi Ahmad, 48 berkata, dia perlu menyediakan khemah itu bagi membolehkan anaknya, Pelajar tahun dua Diploma Teknologi Makmal Perubatan, Nurlieda Khaleeda Mohd. Azmi, 20, menduduki peperiksaan bermula dari 23 November sehingga 3 Disember ini.

Inisiatif itu diambil berikutan masalah kesukaran mendapatkan liputan internet di kawasan Kampung Bukit Petai 7, Gual Ipoh, Tanah Merah itu.

“Sebelum ini, saya hantar anak keluar ke Bandar Baru Tanah Merah untuk dapatkan liputan internet tetapi musim hujan ini ada masalah laluan keluar masuk kampung yang dinaiki air.

“Jadi saya pasang kanopi di atas bukit dan sambung elektrik dari rumah terus ke kawasan bukit bagi memudahkan Nurlieda Khaleeda memasang komputer riba dan kipas. Saya akan tunggu dia sehingga selesai kerana bimbang gangguan haiwan berbisa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, gambar Nurlieda Khaleeda sedang menjawab ujian di bawah kanopi di atas bukit di belakang rumahnya itu tular di media sosial sejak semalam.

Nurlieda berkata, terdapat dua ujian lagi yang perlu diduduki dalam tempoh terdekat dan pihak universiti mensyaratkan agar setiap pelajar perlu dirakam daripada arah belakang ketika ujian berlangsung bagi mengelakkan penipuan.

“Saya memang tertekan dengan rangkaian Internet di kampung ini yang sering bermasalah dan menyukarkan saya menjawab peperiksaan.

“Masa dua jam diberikan tidak cukup disebabkan gangguan liputan. Jika talian Internet terputus, saya terpaksa menjawab semula soalan dan tiada masa tambahan diberikan,” jelas anak sulung daripada lima beradik itu.

 

 

ZA137 Malay News

National Desk