Berlakon drama ada unsur songsang? Elisya Sandha tak kisah dikecam, pesan jangan libatkan keluarga!

Berlakon drama ada unsur songsang? Elisya Sandha tak kisah dikecam, pesan jangan libatkan keluarga!

Pelakon Elisya Sandha meminta pihak tertentu supaya tidak mengaitkan ibu mentuanya, Sheila Rusly dengan kritikan terhadap drama lakonannya, Madu atau Racun.

Elisya, 27, berkata keluarganya tidak mempunyai kaitan dengan siri berkenaan dan tidak wajar dijadikan bahan perdebatan atau kecaman.

“Nak kritik saya atau drama ini, silakan. Tetapi jangan sesekali heret keluarga.
“Jangan libatkan ibu mentua saya. Siri ini langsung tiada kaitan dengan beliau dan saya amat menghargai jika anda boleh tinggalkan keluarga saya daripada perkara ini.
“Anda boleh berkata apa sahaja mengenai saya atau siri ini, tetapi jangan bawa keluarga saya,” katanya menerusi balasan komen di platform Threads.

Berlakon drama ada unsur songsang? Elisya Sandha tak kisah dikecam, pesan jangan libatkan keluarga!

Menurut Elisya, dia tidak mempunyai masalah sekiranya dirinya atau drama berkenaan dikritik, namun penglibatan keluarga adalah batas yang tegas baginya.

“Itu adalah batas yang saya sangat tegas mengenainya dan saya mahu anda menghormatinya.
“Tiada perasaan tidak baik, cuma jangan melampaui batas itu. Terima kasih,” ujarnya.

Kenyataan itu dibuat susulan drama berkenaan menerima kritikan netizen, termasuk dakwaan ia menampilkan babak hubungan sejenis membabitkan watak Nikita lakonan Elisya bersama Azura yang dilakonkan Uqasha Senrose.

Drama terbitan MIG Production Sdn. Bhd. dan arahan Eyra Rahman itu turut menampilkan Aliff Aziz sebagai Adli.

Siri 12 episod berkenaan mula ditayangkan menerusi platform iQIYI pada 14 Ogos lalu.

Madu atau Racun mengisahkan Azura, seorang isteri yang membina kehidupan bersama Adli, namun berdepan perubahan selepas suaminya mengambil Nikita sebagai isteri kedua.

Kehadiran Nikita mencetuskan persaingan dan kecemburuan sebelum kedua-duanya berdepan sikap manipulatif serta kekejaman Adli.

Keadaan menjadi semakin rumit apabila satu kejadian ganas meragut nyawa Adli, menyebabkan Azura dan Nikita terikat dengan rahsia besar yang perlu dilindungi ketika siasatan polis semakin menghampiri kebenaran.

Terdahulu, seorang pengguna Threads turut meluahkan kekecewaan terhadap pelakon yang menerima tawaran membintangi naskhah berkenaan.

“Pelakon masa baca skrip tak boleh ke tolak ke watak ini? Sedihnya tengok kenapa kena berlakon juga. Kalau bagi bukan Muslim pun rasanya mereka tak mahu,” tulisnya.

Sumber: Threads Elisya Sandha

Scroll to Top