'Berlakon pun menjadi, nyanyi pun tidak kurang hebatnya'

'Berlakon pun menjadi, nyanyi pun tidak kurang hebatnya'

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Selain hebat dalam lakonan, aktress Zara Zya juga berbakat besar dalam bidang nyanyian berikutan pernah menghasilkan single berjudul Tiada Dendam pada 2018.

Zara atau nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, kini kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Terpatri Cinta ciptaan sepenuhnya oleh Wanns Ahmad.

Menurut Zara, dia menyukai lagu ini kerana mengetengahkan sisi lembut dan matang dirinya dengan nuansa romantik serta elemen Islamik yang menyentuh hati.

“Lagu ini bukan sekadar kisah cinta biasa, sebaliknya membawa mesej mengenai kasih yang berpaksikan keikhlasan dan reda Ilahi.

“Pertama kali baca lirik dan dengar melodi Terpatri Cinta, hati saya terus tertarik. Lagu ini ada jiwa yang lembut, liriknya bukan sekadar mengenai kasih, tapi tentang cinta yang berpaksikan keikhlasan dan reda Allah.

“Wanns Ahmad buat mengikut permintaan yang saya mahukan. Ada ‘vibes’ Indonesia dan sedikit Islamik,” katanya.

Zara yang meniti populariti menerusi drama bersiri fenomena, Love You Mr Arrogant berkata, sebahagian daripada bait lagu ini cukup dekat dengan perjalanan peribadinya sebagai seorang wanita dan insan seni.

“Ada bahagian dalam lagu ini memang dekat dengan pengalaman saya. Ia bukan semata kisah cinta, tapi lebih kepada perjalanan hati bagaimana cinta itu boleh jadi doa.

“Dari sudut mesej pula, Terpatri Cinta mengajak pendengar untuk melihat cinta daripada perspektif lebih suci, bukan hanya antara dua hati, tetapi dua jiwa yang berpaut menuju syurga bersama.

“Saya ingin sampaikan bahawa cinta paling indah adalah cinta yang disucikan dengan niat yang betul. Lagu ini membawa mesej bahawa kasih yang halal dan diberkati itu bukan sekadar penyatuan dua hati, tetapi dua jiwa yang menuju syurga bersama,” katanya.

Bercerita aspek produksi pula, Zara berkata, dia memilih Terpatri Cinta kerana berasa karya ini memiliki keunikan tersendiri yang tidak berlebihan, namun penuh emosi.

“Keunikan lagu ini terletak pada kesederhanaannya. Tak berlebihan, tapi sarat dengan emosi mendalam.

“Sepanjang proses rakaman yang ambil masa hampir sebulan, kerjasama saya dengan Wanns Ahmad berjalan lancar dan menyenangkan.

“Dia seorang komposer yang sangat memahami jiwa saya. Dia tak hanya fikir soal teknik, tapi juga emosi. Dia pun faham, saya bukanlah penyanyi profesional, malah proses rakaman pun mudah saja,” katanya.

Pada masa sama, Zara mengakui cabaran paling besar dalam penghasilan lagu ini adalah mengawal emosi agar setiap bait lirik disampaikan dengan rasa yang tulus.

“Ada beberapa bahagian lagu yang terlalu dekat dengan hati saya, sampai kadang-kadang suara pun bergetar. Saya juga selalu tak yakin dengan kemampuan diri sendiri.

“Lagu ini turut disertakan dengan muzik video rasmi berkonsep minimalis yang memberi tumpuan kepada ekspresi dan rasa, bukannya visual berlebihan.

“Terima kasih kepada Datuk Alha Alfa kerana sudi menaja muzik video Terpatri Cinta. Saya harap lagu ini dapat menyentuh hati pendengar, tak kira usia atau pengalaman mereka,” katanya.

Katanya, dia meyakini bahawa cinta yang suci itu masih ada di dunia ini.

“Kalau ada yang rasa tenang, terubat atau tersenyum selepas mendengar lagu ini, itu sudah cukup bermakna bagi saya.

“Terpatri Cinta bukan sekadar lagu, tapi doa kecil tentang cinta abadi,” katanya.

Lagu yang dikeluarkan pada tarikh ulang tahun kelahiran Zara pada 22 Oktober lalu, kini boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik utama.

Video muzik rasmi lagu ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top