Berlakon raih simpati, 14 motosikal disita JPJ

Berlakon raih simpati, 14 motosikal disita JPJ

harisfadli@hmetro.com.my​

Shah Alam: ‘Terpaksa’ dan ‘cari duit’ adalah antara alasan popular diberikan pemandu warga asing (Pewa) apabila ditahan untuk pemeriksaan oleh pihak berkuasa.

Alasan itu juga diberikan oleh seorang penjual aiskrim warga asing selepas motosikal ditunggangnya disita selepas dia didapati menunggang tanpa lesen sah.

Lelaki terbabit yang menjual aiskrim sejak lima bulan lalu ditahan menerusi Ops Pewa di Jalan Menegun, di sini, semalam.​

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, sebanyak 14 motosikal disita menerusi Ops Pewa membabitkan kesalahan tiada cukai jalan, tiada insurans, dan tiada lesen memandu yang sah.​

“Hasil soal siasat ke atas kesemua warga asing berusia lingkungan 35 hingga 49 tahun berkenaan mendapati ada antara mereka yang menunggang motosikal sendiri dan ada juga yang mendakwa ia dipinjam,” katanya hari ini.

​Menurutnya, kesemua motosikal yang disita dipercayai digunakan bagi tujuan perniagaan sama ada bekerja untuk majikan atau bekerja sendiri.

​Ahmad Kamarunzaman berkata, kesemua warga asing ditahan membabitkan warga Bangladesh, Pakistan, dan Kemboja.​

Katanya, JPJ Selangor akan sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi.​

Bagi sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh menyalurkannya kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-Aduan berserta maklumat berkaitan.​

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top