Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 67)
IBN ASAKIR mengeluarkan daripada Ali bin Rabiah, katanya: Ja’dah bin Hubairah datang kepada Ali ra, lalu berkata:
يا أمير المؤمنين ، يأتيك الرجلان أنت أحب إلى أحدهما من نفسه أو قال: من أهله وماله ، والآخر لو يستطيع أن يذبحك لذبحك ، فتقضي لهذا على هذا !
‘Wahai Amir al-Mukminin! 2 lelaki datang kepadamu. Salah seorang dari mereka, engkau sangat dikasihi kepadanya dari dirinya sendiri’ atau katanya: ‘dari keluarga dan hartanya.’
Advertisement
“Seorang lagi, jika dia mampu menyembelihmu, dia akan menyembelihmu (iaitu simbolik kepada tersangat bencinya). Lalu engkau menjatuhkan hukuman, menang kepada orang ini (iaitu yang sangat membencimu) terhadap orang ini (iaitu yang mengasihimu).’
Periwayat cerita ini berkata: Lalu Saidina Ali menampar dadanya sambil berkata:
إن هذا شيء لو كان لي فعلت ، ولكن إنما ذا شيء لله .
‘Sesungguhnya perkara ini, jika dibiarkan kepadaku, tentu aku buat apa sahaja, tetapi sesungguhnya ia adalah sesuatu yang berkaitan (hukum) Allah.’
Hayatussahabah, Al-Kandahlawi 2/108.
Kita mengambil beberapa pengajaran dari kisah ini:
- Pada setiap masa, tetap ada isu atau kes melibatkan pihak-pihak yang bertikai, samada di zaman Nabi, sebelumnya, dan selepasnya.
- Kes dibawa ke muka pengadilan untuk dijatuhkan hukuman. Kini, mahkamah yang menjatuhkan hukuman. Di zaman awal Islam, Nabi SAW serta khulafa ar-Rashidin pernah menjadi pemutus hukum dalam sesuatu pertikaian.
- Saidina Ali adalah khalifah keempat, sepupu Nabi SAW, menantunya dan sahabat yang terkenal. Namun, mereka yang tidak menyukainya tetap ada. Sama seperti Nabi SAW sendiri sebagai manusia paling baik, tetap ada yang membencinya. Justeru, jangan pelik jika di zaman kita, orang alim, soleh dan baik juga dibenci oleh orang atau kelompok tertentu.
- Saidina Ali tetap melaksanakan keadilan seperti yang dituntut oleh syarak. Nafsu diketepikan. Hukum syarak didahulukan. Kes tetap dimenangi oleh mereka yang layak dan berhak menang, sekalipun dia sangat memusuhi Saidina Ali.
- Dalam konteks semasa, pemerintah di peringkat pusat wajar mengembalikan hak Terengganu dan Kelantan untuk menerima royalti petroleum, sekalipun 2 negeri ini dianggap ‘musuh politik’. Begitu juga peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang, wajib diberi. Berlaku adillah sekalipun terhadap musuh politik, kerana kuasa itu bukannya abadi.
NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK,
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 2/3/2023