Berlaku kekeliruan, Fahmi Reza tidak disenarai hitam

Berlaku kekeliruan, Fahmi Reza tidak disenarai hitam

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiada sekatan pergerakan dikenakan ke atas aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza seperti yang digembar gemburkan di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Fahmi Reza atau nama penuhnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin hanya disenarai dalam senarai pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sehubungan itu, PDRM ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang sekatan rasmi dikenakan terhadap Fahmi Reza pada masa ini.

“Bagaimanapun, nama beliau dimasukkan ke dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman PDRM, berikutan siasatan kes yang masih dijalankan kami.

“Penting untuk ditegaskan bahawa senarai pemantauan ini bukanlah satu bentuk sekatan pergerakan, sebaliknya sebahagian daripada prosedur pemantauan lazim yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sekatan pergerakan yang dikeluarkan ke atas Fahmi Reza semalam berlaku berikutan kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara.

Katanya, pihak berkaitan sedang meneliti isu itu dan langkah-langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkemaskan prosedur sedia ada.

“PDRM kekal komited dalam melindungi dan menghormati hak kebebasan bergerak setiap rakyat Malaysia.

“Individu berkenaan adalah bebas untuk melakukan perjalanan keluar dan masuk seperti biasa tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan undang-undang berkaitan,” katanya.

Semalam media melaporkan, Fahmi Reza dalam satu hantaran di media sosial mendakwa dirinya disenarai hitamkan daripada keluar negara selepas dia dihalang daripada berlepas ke Singapura.

Fahmi Reza dilapor berkata, dirinya tidak dibenarkan keluar negara atas arahan Bukit Aman dan perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top