hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bacaan penggunaan bulan Julai tidak terjejas dan memaklumkan terdapat ralat yang menyebabkan paparan graf penggunaan bulan ini tidak tepat serta graf itu tidak dipaparkan sementara waktu.
TNB berkata, pihaknya mengambil maklum perkongsian yang tular di sosial media bahawa sesetengah pelanggan mungkin melihat graf penggunaan kilowatt per jam (kWh) bulan Julai yang tinggi dalam aplikasi myTNB.
“Atas isu teknikal, terdapat ralat yang menyebabkan paparan graf penggunaan bulan Julai tidak tepat dan graf berkenaan tidak dipaparkan buat sementara waktu.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa bacaan penggunaan bulan Julai tidak terjejas. Pelanggan boleh menyemak bil muktamad selepas tempoh pengebilan,” katanya dalam kenyataan dikongsikan di media sosialnya, di sini, hari ini.
TNB memaklumkan pihaknya sedang mengambil tindakan dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.
“Untuk sebarang pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi TNB di saluran mesej peribadi (PM) di Facebook (FB) TNB Careline, mesej langsung (DM) ke aplikasi X @Tenaga_Nasional, email kepada tnbcareline@tnb.com.my dan menghubungi 1300-88-5454,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




